Dakwa Tiada Ambulans, Keluarga Usung Jenazah Sejauh 3km Guna Kain Pelekat
Baru-baru ini tular satu video yang memaparkan beberapa orang penduduk kampung terpaksa mengusung jenazah sejauh tiga kilometer dengan hanya menggunakan kain pelekat di Polewali Mandar, Sulawesi Barat.
Memetik laporan Detiksulsel, jenazah tersebut diusung dengan menggunakan sebatang kayu dan beberapa helai kain pelekat yang diikat sebelum menyelusuri sepanjang jalan raya sekitar jam 4 petang waktu tempatan.
Difahamkan, terdapat suara jeritan kekesalan seorang wanita di dalam video berkenaan yang mendakwa pusat kesihatan di kawasan itu tidak prihatin terhadap nasib keluarganya.
“Orang meninggal tapi tiada ambulans yang datang mengambil. Pusat kesihatan Campalagian tidak menjalankan kerja dengan baik.
“Berapa pun harga untuk disewa kami sanggup membayarnya namun tiada ambulans yang disediakan,” dakwa wanita berkenaan dalam video itu.
Bagaimanapun, pihak Kesihatan Campalagian menafikan kejadian tersebut kerana mereka sudah memaklumkan kepada ahli keluarga bahawa untuk menunggu seketika kerana kakitangan sedang berusaha mendapatkan ambulans.

Menurut Ketua Pusat Kesihatan Campalagian, Ramlah, pihaknya telah berusaha untuk mencari kenderaan alternatif untuk digunakan membawa jenazah namun kenderaan yang dimaksudkan itu sedang membawa jenazah lain di Makassar.
“Keluarga arwah mahu segera dihantar ke rumah, kenderaan cuma ada satu sahaja tapi sedang digunakan.
“Kakitangan telah berusaha untuk menghubungi pemandu van ambulans, namun van yang biasa membawa jenazah sedang berada di Makassar.
“Kakitangan telah menjelaskan agar ahli keluarga untuk menunggu seketika sementara mereka mencari kenderaan lain,” katanya kepada wartawan.
Tidak lama kemudian, mereka datang membawa sebatang kayu untuk mengusung jenazah ekoran tidak menyediakan ambulans.
Terdahulu, jenazah tersebut menjalani beberapa hari rawatan di pusat kesihatan berkenaan namun disahkan meninggal dunia akibat penyakit yang dialami.
Sumber: Detiksulsel,Detik.com