Kelihatan Lebih Jelas & Besar, Musytari Dijangka Berada Paling Dekat Dengan Bumi 26 September Ini
Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) melaporkan bahawa planet Musytari akan berada pada kedudukan paling dekat dengan Bumi pada 26 September ini.
Memetik Wion News, ini bermakna orang ramai akan berpeluang untuk melihat planet terbesar dalam sistem suria dengan keadaan paling jelas ketika ia menghampiri Bumi pada jarak paling dekat bagi tempoh 70 tahun.
“Orang ramai berpeluang melihat pemandangan indah Planet Musytari sepanjang malam 26 September ini apabila ia mencapai kedudukan tersebut,” jelas NASA, lapor Wion.
Dari sudut pandangan Bumi, fenomena ini berlaku apabila objek angkasa akan berada di bahagian timur dan Matahari terbenam di sebelah barat. Oleh itu, matahari dan objek tersebut akan berada pada kedudukan yang benar-benar bertentangan antara satu sama lain.
Memetik laporan Wion, pertentangan planet terbesar tersebut berlaku pada setiap 13 bulan. Bagaimanapun, pada 26 September ini Musytari akan kelihatan lebih jelas, besar dan terang dari biasa.
“Bukan hanya itu, ia juga berada dalam keadaan paling hampir dengan Bumi dalam tempoh 70 tahun,” jelas NASA.
Difahamkan juga, Musytari akan berada pada jarak 587 juta kilometer dari Bumi ketika ia berada dalam kedudukan paling hampir dengan planet kita.
BACA: Gadis Tionghua Hidupkan Seni Melayu, Diangkat Jadi Cikgu Zapin Di Negara China
BACA JUGA: “Jangan Risau Kantoi,” Abang Ni Kongsi ‘Helah’ Nak Ajak Member Pergi Bangkok Secara Percuma
Sumber: Wion News