Siakap Keli
Apple bakal naikkan harga aplikasi app store
Gambar via Endgadget

Apple Bakal Naikkan Harga Aplikasi “App Store” Bulan Depan Termasuk Di Malaysia

Apple Bakal Naikkan Harga Aplikasi “App Store” Bulan Depan Termasuk Di Malaysia

Apple dilaporkan merancang menaikkan harga untuk pembelian di aplikasi, item dalam aplikasi dan langganan kepada pemilik iPhone dan iPad dipercayai sebagai tindak balas kepada turun naik mata wang antarabangsa dan inflasi. 

Memetik CNET, ia akan memberi kesan kepada beberapa buah negara termasuk Chile, Mesir, Jepun, Malaysia, Pakistan, Poland, Korea Selatan, Sweden, Vietnam dan negara yang menggunakan mata wang Euro. 

Dalam satu kenyataan, Apple berkata, perubahan itu akan berkuat kuasa secara automatik bermula awal Oktober kelak. Sebagai contoh, aplikasi yang berharga RM4.51 akan meningkat kepada RM5.43. 

Di Vietnam khususnya, Apple berkata, ia meningkatkan harga sebagai tindak balas kepada peraturan cukai baharu.

Dalam pada itu, perubahan itu tidak akan memberi kesan kepada pembaharuan langganan automatik, namun pemaju boleh memilih sama ada untuk mengekalkan harga sedia ada untuk pelanggan sedia ada atau menaikkan kepada harga baru. 

Menurut CNET, perubahan harga oleh Apple menunjukkan ketidakstabilan ekonomi yang sedang mengalami kadar peningkatan inflasi di seluruh dunia dan kenaikan harga bahan api berikutan krisis yang dicetuskan oleh Rusia dan Ukraine. 

Kebanyakan negara telah bertindak balas terhadap isu ini dengan mengenakan kadar faedah yang lebih tinggi untuk memperlahankan peminjaman dan pembelian. Umumnya, harga produk akan turun jika pembelian dan permintaan rendah atau perlahan. 

Difahamkan, kadangkala Apple juga akan melaraskan harga App Store dan kali ini ia berlaku semasa ekonomi berada dalam keadaan tidak stabil dalam masa yang sama mereka telah melancarkan telefon pintar terbarunya. 

iPhone 14 yang baru dikeluarkan bermula dengan harga RM4,199, manakala iPhone 14 Pro dijual dengan harga bermula dari RM5,299. Apple masih mengekalkan harga produk tersebut sejajar dengan harga pada tahun lalu.

Selain itu, Apple juga mengeluarkan Apple Watch Ultra baharu minggu ini, direka untuk kegunaan tahan lasak yang berharga RM3,799, dua kali ganda dari harga Apple Watch Series 8.

BACA: Skrin Tanpa Takuk, Hadir Dengan “Always On Display”, Ramai Tak Sabar Nak Beli iPhone 14

Sumber: CNET, Apple Developer

Faiz Mustafa