Siakap Keli
panduan kahwin non muslim
Gambar: FB Adam Corrie

Adam Corrie Kongsi 7 Panduan Ajak ‘Partner’ Non-Muslim Peluk Islam & Berkahwin

Sering menerima soalan mengenai perkawinan yang melibatkan agama, pelakon aksi terkenal Adam Corrie kongsi tips bagaimana mahu mengajak pasangan yang bukan Islam untuk memeluk agama fitrah ini dan berkahwin.

Walaupun sudah memeluk Islam dan hampir 14 tahun mendirikan rumah tangga, namun orang ramai masih lagi kagum dengan caranya yang mengekalkan perkahwinan yang dibina sejak 2008 dahulu.

Menerusi satu perkongsian di Facebook hari ini, Adam Corrie atau nama sebenarnya Adam Corrie Lee Abdullah berkata semua yang dikongsi merupakan pandangan dan pengalaman yang dirasai olehnya bersama isteri.

Dalam perkongsian itu, Adam turut memuat naik gambarnya sewaktu sedang akad nikah pada 2008 dahulu.

“Ini gambar tahun 2008. Saya sedang akad nikah. Lepas akad nikah kena baca taklik nikah dalam tulisan jawi, tapi tok kadi tak pa… sebabkan saya mualaf ikut dia cakap.

“Hari ini saya masih menerima beberapa PM bertanyakan pandangan tentang bagaimana nak ajak BF /GF yang belum Islam memeluk Islam dan berkahwin. Saya sudah kongsikan pandangan ini berkali-kali. Kali ini saya kongsikan sekali lagi atas pemintaan,” katanya.

Gambar: FB Adam Corrie

Berdasarkan pandangan dan pengalaman dirinya serta isterinya, Adam menjelaskan bahawa prinsip percintaan dalam Islam adalah berpaksikan niat berpasangan untuk mencari keredaan Allah.

“Prinsip asas dalam adab bercinta dalam Islam ialah berpasakkan keredaan Allah, mematuhi segala suruhan-suruhan-Nya dan tidak boleh mengikuti kehendak makhluk-Nya sehingga mengingkari perintah atau larangan-Nya,” katanya.

Adam turut menampilkan petikan dalil firman Allah Taala dalam Surah al-Israk ayat ke-32 yang berbunyi, “Dan janganlah kamu mendekati zina, (zina) itu sungguh suatu perbuatan keji dan suatu jalan yang buruk,”

Jelas Adam, seseorang yang benar-benar ingin mengamalkan Islam dalam dirinya, mereka perlu membetulkan niat apabila bercinta.

“Bercinta kerana Allah SWT dengan tujuan menghalalkan perhubungan itu daripada segenap sudut melalui perkahwinan yang sah.

“Menjalin hubungan cinta antara lelaki dan perempuan yang bukan Islam tidak dibenarkan (haram) kerana lebih banyak mendatangkan kemudaratan daripada manfaat,” katanya.

Sehubungan itu, Adam mengingatkan bahawa setiap muslimin atau muslimah perlu berhati-hati dalam persoalan hati, apatah lagi jalinan perasaan tersebut melibatkan seseorang yang berlainan agama.

Tujuh cara bina hubungan dengan pasangan bukan Islam & ajak peluk Islam

Oleh itu, dalam perkongsian yang sama, Adam berkongsikan tujuh garis panduan bagaimana membina hubungan dengan bakal pasangan yang bukan Islam, seterusnya cara mengendalikan hubungan ke arah yang lebih baik.

Gambar: FB Adam Corrie

1. Sebagai seorang Muslim, tunjukkan keindahan Islam itu bermula dari diri kita sendiri. Jika kita sendiri tak tunjuk teladan dan mempraktikkannya ajaran dan meninggalkan laranganNya amat sukar untuk mereka memahami apa itu Islam.

2. Jangan paksa GF/BF kita memeluk Islam untuk kahwin. Biarlah mereka memeluk Islam kerana Allah dan cinta akan Islam.

3. Sekiranya BF/GF memang ada menunjukkan minat terhadap Islam, berikan buku-buku bacaan mengenai Islam yang mudah difahami isi kandungannya. Bawa mereka ke kelas agama seperti di PERKIM / Majlis Agama Islam Negeri untuk memahami Islam dengan lebih lanjut.

4.  Buatlah solat sunat taubat selalu supaya dosa kita diampunkan supaya doa kita mudah diperkenankan. Lagipun kita digalakkan lakukan solat taubat selalu.

Solat istikarah juga perlu untuk mendapat pertunjuk dari Allah adakah si dia jodoh terbaik untuk kita dan buatlah juga solat hajat untuk si dia mendapat hidayah dari Allah untuk memeluk Islam dengan sepenuh hati.

5. Selebihnya kita serahkan pada Allah menentukan-Nya. Berusaha, beribadat, berdoa , tawakkal Insya’allah segala yang diinginkan dimakbulkan.

6. Buat target masa, jangan bercinta lama-lama. Ia hanya menambahkan dosa yang kita tak sedari. Jika GF/BF kita suka tangguh-tangguh. Berani buat keputusan untuk mengundur diri dan teruskan hidup yang lebih baik.

7. Jika dia bukan jodoh kita, jangan putus asa dan kecewa. Kerana Allah ada rancangan yang terbaik dan ada hikmahNya untuk kita. Insan yang baik tentu Allah jodohkan dengan Insan yang baik juga. Insya’allah.

Mengulas lanjut mengenai panduan yang diamalkan ini, jelas Adam, isterinya juga turut mengamalkan beberapa amalan sama sewaktu dirinya dilamar menjadi isteri.

“Dari pengalaman isteri saya, beliau melakukan nombor 4 dan 5 ketika saya melamarnya dan beliau juga meminta ibu bapanya buat solat istikharah dan hajat untuk dirinya.

“Restu ibu bapa penting bagi memastikan kebahagiaan perkahwinan tersebut di dunia dan akhirat. InsyaAllah,” katanya.

Sumber: Facebook Adam Corrie

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana