Siakap Keli
Ubat-ubatan
Gambar via myDr

Kalau Ubat Untuk Merawat, Kenapa Ada Yang Kena Makan Sepanjang Hayat? Ini Penjelasan Ahli Farmasi

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Ubat bukanlah sekadar untuk menyembuhkan penyakit semata-mata, tapi juga untuk mengawal dan mencegah penyakit kronik.

Bercakap soal ubat-ubatan, lazimnya ia sering diambil oleh kita ketika mengalami masalah kesihatan seperti demam dan sebagainya. Seperti yang diketahui umum, ubat merupakan sejenis bahan kimia diambil untuk tujuan menyembuhkan penyakit tertentu.

Namun, ubat bukanlah sekadar untuk menyembuhkan penyakit semata-mata. Mungkin ada yang mempersoalkan kenapa pesakit-pesakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan sebagainya perlu meneruskan amalan pengambilan ubat-ubatan mereka.

Menurut perkongsian dari rakan Twitter, Fahmi Hassan RPh yang juga merupakan seorang ahli farmasi, beliau menjelaskan bahawa terdapat tiga jenis fungsi ubat yang mungkin sebenarnya kita tidak ambil maklum sebelum ini hingga tercetusnya persoalan di atas.

Oleh itu, kami kongsikan perkongsian beliau berkaitan dengan tiga fungsi ubat yang perlu diambil tahu supaya dapat merungkai kekeliruan yang ada. Ikuti perkongsian di bawah yang telah pun kami sertakan. Semoga bermanfaat.

Ubat merawat, mengawal dan mencegah

Apa guna makan ubat kalau kena makan sampai mati? Soalan yang bagus. Benar, untuk sesetengah keadaan, ubat perlu dimakan sepanjang hayat. Tapi pertama sekali, kita kena faham apa definisi ubat.

Ubat adalah apa apa bahan yang bila dimasukkan ke dalam badan, ia boleh MERAWAT, MENGAWAL, atau MENCEGAH penyakit.

Jadi fungsi ubat ni bukan semata mata menyembuhkan penyakit. Kerap kali fungsi yang lebih penting adalah mengawal penyakit supaya badan kekal sihat.

Kebiasaannya, ubat mengawal ini adalah untuk penyakit penyakit tidak berjangkit. Contohnya kencing manis, masalah jantung, darah tinggi dll. Ubatan bagi penyakit ini perlu dimakan sepanjang hayat. Jika diambil konsisten mengikut dos, komplikasi buruk kesihatan dapat dicegah.

Ada juga ubat yang boleh merawat penyakit. Contohnya antibiotik untuk membunuh jangkitan kuman. Atau ubatan untuk melegakan sakit akibat inflamasi. Ia dapat menghilangkan kesakitan dengan mengurangkan inflamasi.

Namun begitu, ubatan seperti ini kadangkala adalah bersifat melegakan simptom. Rawatan lain, sama ada bentuk ubat atau bukan, diperlukan untuk menyembuhkan punca masalah.

Sejenis lagi ubat adalah untuk mencegah penyakit. Yang paling popular sudah pasti vaksin. Kita ambil sebelum virus menjangkiti kita. Selain itu, satu contoh lagi kombinasi ubat untuk menghalang HIV. Ia dipanggil Pre Exposure Prophylaxis atau ringkasnya PrEP.

Kombinasi ini diambil oleh golongan yang tidak menghidap HIV tetapi mengamalkan gaya hidup berisiko, atau mempunyai pasangan yang dijangkiti HIV. Namun begitu ubat ini juga perlu diambil setiap hari secara berpanjangan selagi mana risiko jangkitan masih ada.

Secara ringkas, begitulah cerita ubat untuk mengawal, merawat dan juga mengelakkan penyakit. Apa pun ubat yang anda dapat, ia hanya berkesan pada dos dan aturan yang betul. Jadi, jangan abaikan kepatuhan terhadap pengambilan ubat!

BACA: Gadis Tionghua Hidupkan Seni Melayu, Diangkat Jadi Cikgu Zapin Di Negara China

Sumber: Fahmi Hassan RPh (Twitter)

 

Faiz Mustafa