Siakap Keli
Perbicaraan Johnny Depp/Amber Heard
Gambar: Daily Mail

Penuh Kontroversi & Paling Diikuti, Perbicaraan Johnny Depp/Amber Heard Diangkat Jadi Filem

Penuh Kontroversi & Paling Diikuti, Perbicaraan Johnny Depp/Amber Heard Diangkat Jadi Filem

Sebuah platform penstriman percuma Tubi telah menghasilkan sebuah filem berdasarkan perbicaraan Johnny Depp dan Amber Heard yang bertajuk Hot Take: The Depp/Heard Trial.

Kes fitnah Depp dan Heard merupakan salah satu perbicaraan yang paling diikuti dan kontroversi sepanjang tahun.

Perbicaraan yang berlangsung pada 11 April hingga 1 Jun telah menimbulkan perdebatan hangat tentang penderaan rumahtangga.

Kedua-dua pihak menuduh antara satu sama lain melakukan kezaliman dari segi fizikal dan emosi.

Dilaporkan, juri mendapati bahawa Heard bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan memfitnah, manakala Depp bersalah atas salah satu daripada tiga pertuduhan memfitnah.

Selepas beberapa minggu perbicaraan berakhir, Tubi mengumumkan bahawa filem tersebut sedang dalam proses penggambaran.

Menerusi video tersebut, Mark Hapka memegang watak sebagai Johnny Depp dan digandingkan bersama Megan Davis sebagai Amber Heard di dalam mahkamah.

Senarai pelakon juga telah didedahkan antaranya ialah Melissa Marty, Mary Carrig, Carrie Gibson, Casey O’Keefe dan Daniel Lench.

Beberapa aspek utama semasa perbicaraan ditunjukkan dalam klip video tersebut, antaranya ialah testimoni Heard dan Depp di tempat duduk dan Depp melambaikan tangan kepada peminatnya di luar mahkamah.

Selain itu, terdapat beberapa bukti utama dalam perbicaraan digunakan termasuk pisau yang dihadiahkan kepada Heard untuk hari lahirnya, sejarah penyalahgunaan dadah Depp dan hubungan sulit Heard yang disyaki dengan James Franco.

Namun begitu, filem ini dilaporkan cuba memberikan gambaran yang seimbang mewakili kedua-dua belah pihak.

Berdasarkan klip tersebut, perincian dan butiran kecil seperti Heard sering meniru gaya rambut dan cara berpakaian Depp di mahkamah juga dititik beratkan untuk menghasilkan watak yang sebenar.

Tambahan lagi, dalam klip tersebut telah menunjukkan terdapat beberapa peristiwa sebenar dalam hubungan silam antara kedua-dua pihak.

Sumber: Gamerant.com

Baca: “Rugi Ni Bang,” Penuh Satu Troli, Tiba-tiba “Cashier” Mydin Kata Tak Baloi Bayar Macam Ni

Anis Annisa