Siakap Keli
Gambar: KCNA via KNS/AFP

Korea Utara Lancar Peluru Berpandu, Dipercayai Terbang Melintasi Jepun & Jatuh Di Lautan Pasifik

Korea Utara Lancar Peluru Berpandu, Dipercayai Terbang Melintasi Jepun & Jatuh Di Lautan Pasifik

Korea Utara dipercayai telah melancarkan peluru berpandu yang tidak dikenal pasti, lapor ketenteraan Korea Selatan semalam.

Memetik AFP, peluru berpandu tersebut disyaki rentetan daripada sebahagian ujian senjata Korea Selatan yang semakin menggandakan latihan ketenteraan dengan Amerika Syarikat.

“Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik ke arah timur,” kata Ketua Staf Bersama Korea Selatan dalam satu kenyataan.

Sementara itu, tinjauan daripada pengawal pantai Jepun turut mengesahkan bahawa pihak Korea Utara telah membuat pelancaran peluru berpandu balistik.

Sehubungan itu, kerajaan Jepun mengeluarkan amaran kepada semua kapal untuk berwaspada.

Lintasi Langit Jepun

Bagaimanapun, laporan terbaru mengesahkan bahawa peluru berpandu itu telah ‘terbang’ melintasi negara tersebut.

“Peluru berpandu dipercayai telah melepasi negara kami dan jatuh di Lautan Pasifik. Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keganasan ini,” kata Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida.

Tentera Korea Selatan berkata bahawa pihaknya telah mengesan satu peluru berpandu balistik jarak sederhana yang disyaki dilancarkan dari kawasan  MupYong-ri di provinsi Jagang sekitar jam 7.23 pagi waktu tempatan.

Persaingan ujian senjata oleh Pyongyang semakin ketara selepas Seoul, Tokyo dan Washington mula mengadakan latihan ketenteraan bersama untuk mengatasi ancaman dalam skala besar di perairan semenanjung.

Tambahan lagi, Korea Selatan, Jepun dan Amerika Syarikat turut melaksanakan latihan anti-kapal selam pada Jumaat lalu yang diadakan pertama kali sejak lima tahun.

Latihan demikian telah mencetuskan kemarahan pihak Korea Utara yang melihatnya sebagai satu latihan pencerobohan.

Naib Presiden Amerika Syarikat, Kamala Harris pada minggu lalu telah mengadakan lawatan ke Seoul di kubu Zon Demiliterisasi yang membahagikan semenanjung.

Lawatan yang dilakukan beliau bertujuan untuk memberikan komitmen pertahanan Korea Selatan daripada Korea Utara dengan menempatkan sekitar 28,500 tentera.

Sebelum ini, pegawai Korea Selatan dan Amerika Syarikat juga telah memberi amaran selama berbulan-bulan terhadap kepimpinan tertinggi Korea Utara, Kim Jong Un yang sedang bersedia menjalankan satu lagi ujian nuklear.

Korea Utara kini berada di bawah beberapa sekatan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap latihan senjata bagi memaksimumkan kesan geopolitik ujian tersebut mengikut kesesuaian masa.

Untuk tahun ini sahaja, Korea Utara telah beberapa kali memecahkan rekod dengan melakukan beberapa siri ujian bersenjata termasuk melancarkan peluru berkenaan dari jarak dekat sebanyak empat kali pada minggu lalu.

Sumber: AFP

Muhd Iqbal