Siakap Keli
Gambar: Unspalsh, Unicef

Pakai Sabun Pun Tak Jalan? “Try” Guna 10 Bahan Ni Untuk Hilangkan Bau Hanyir Ikan Pada Tangan

Pakai Sabun Pun Tak Jalan? “Try” Guna 10 Bahan Ni Untuk Hilangkan Bau Hanyir Ikan Pada Tangan

Memang tidak dinafikan bahawa ikan merupakan hidangan yang paling digemari oleh semua orang. Lebih-lebih lagi apabila ikan-ikan tersebut masih lagi segar.

Namun, ada kalanya niat untuk makan ikan boleh terbantut disebabkan oleh bau hanyir yang kuat.

Salah satu faktor yang menyebabkan bau hanyir ikan itu datangnya daripada perut ikan. Sebelum memasak, ikan-ikan yang sudah siap disiang perlulah dicuci sehingga bersih. Selepas itu, sudah pasti bau hanyir ikan akan melekat pada tangan kita.

Sesiapa yang pernah merasai pengalaman ini pasti tahu betapa sukarnya untuk menghilangkan bau hanyir ikan pada tangan. Walaupun sudah bermacam-macam petua dan cara telah digunakan tetapi hasilnya tidak berubah dan masih berbau hanyir.

Kali ini jangan khuatir, Hello Doktor ada berkongsikan cara untuk hilangkan bau ikan pada tangan. Bagi mengetahui dengan lebih lanjut, ikuti tips yang dikongsikan seperti berikut:

Setiap kali selepas menyiang ikan, bau ikan pasti akan melekat pada tangan walaupun sudah dicuci dengan sabun. Kadangkala terasa seperti hendak muntah apabila bau tersebut masih tidak hilang selepas beberapa jam. Apa kata anda, jika kami ajarkan cara hilangkan hanyir ikan pada tangan dengan 10 petua di bawah ini.

10 cara hilangkan bau ikan pada tangan

Anda mungkin ada beberapa petua atau kaedah tersendiri yang digunakan untuk menghilangkan bau hanyir ikan pada tangan.

Namun, tidak salah jika anda mencuba salah satu daripada 10 petua baharu yang kami kongsikan di bawah ini.

Mana tahu ia lebih berkesan menghilangkan bau hanyir tersebut.

#1. Sos tomato

Kedengaran agak pelik? Ya, sos tomato sebenarnya boleh membantu anda menghilangkan bau ikan yang masih melekat pada tangan.

Caranya adalah dengan menuangkan sejumlah sos pada tapak tangan anda.

Kemudian, sapu dan gosokkan sos tomato tersebut pada seluruh tapak tangan. Biarkan selama beberapa minit terlebih dahulu sebelum membilas.

#2. Jus lemon

Gambar: unsplash

Disebabkan sifat keasidan yang agak tinggi, buah lemon juga boleh membantu menyingkirkan bau hanyir ikan pada tangan anda. Namun caranya agak berlainan.

Anda perlu mencampurkan sedikit soda bikarbonat bersama jus lemon untuk dijadikan sebagai pes.

Kemudian, sapukan pes tersebut pada tangan yang berbau hanyir dan biarkan selama beberapa minit.

Akhir sekali, bilas sehingga bersih.

#3. Hilangkan bau ikan guna garam

Jika anda bertanya kepada orang-orang lama, mereka akan menyarankan anda menggunakan garam sebagai cara hilangkan hanyir ikan.

Caranya mudah sahaja. Anda hanya perlu menabur sejumlah garam pada tangan dan gosokkan tangan anda.

Kemudian, basuh tangan sehingga bersih dan hanyir ikan akan hilang.

#4. Hand sanitizer

Pasca COVID-19, setiap isi rumah pasti masih mempunyai bekalan hand sanitizer, bukan? Hand sanitizer juga berkesan untuk menghilangkan bau hanyir.

Ini kerana, hand sanitizer mengandungi kandungan alkohol dan juga bahan-bahan lain yang boleh membunuh bakteria penyebab bau busuk.

#5. Daun ketumbar

Siapa sahaja yang tidak mengenali daun herba ini.

Baunya yang agak kuat menusuk hidung sebenarnya boleh membantu anda menyingkirkan bau hanyir yang masih melekat pada tangan.

Caranya, ambil sedikit daun ketumbar dan terus gosokkan atau tenyeh pada pada tangan anda.

Bilas tangan selepas bau hanyir hilang.

#6. Hilangkan bau ikan guna ubat gigi

Ubat gigi tidak hanya berkesan membersihkan gigi, tetapi ia juga bagus untuk menghilangkan bau hanyir pada tangan.

Anda hanya perlu memicit sedikit ubat gigi pada tangan dan terus menyapunya ke seluruh tangan anda. Bilas sehingga bersih selepas hanyir ikan hilang.

#7. Serbuk kopi

Gambar: unsplash

Serbuk kopi juga boleh digunakan sebagai cara hilangkan hanyir ikan yang agak ampuh.

Namun, pastikan anda menggunakan serbuk kopi yang masih belum digunakan lagi.

Caranya mudah sahaja, hanya sapukan sejumlah serbuk kopi pada tangan anda dan biarkan selama beberapa minit sebelum dibilas.

#8. Tisu basah bayi

Tisu basah atau tisu bayi ini biasa digunakan untuk mengelap punggung bayi sewaktu menukarkan lampin.

Disebabkan kandungan pewangi yang terdapat pada tisu basah ini, ia juga boleh digunakan untuk menghilangkan bau hanyir pada tangan anda.

#9. Cuka

Cuka mempunyai sifat keasidan yang lebih kurang sama seperti jus lemon.

Oleh itu, ia juga boleh digunakan untuk menghilangkan bau hanyir pada tangan.

Untuk kesan yang lebih baik, campurkan cuka bersama-sama garam terlebih dahulu sebelum disapu pada tangan.

Biarkan sekurang-kurangnya 1 minit sebelum dibilas dengan air suam. Tangan anda pasti tidak lagi berbau hanyir.

#10. Minyak zaitun hilangkan bau ikan

Gambar: unsplash

Jika rumah anda mempunyai minyak zaitun, ia juga boleh digunakan untuk menghilangkan hanyir ikan yang masih melekat.

Ini kerana minyak zaitun mengandungi sebatian yang boleh memecahkan struktur trimethylamine, iaitu bahan punca penyebab bau tersebut.

Kesimpulan

Terdapat banyak lagi bahan yang boleh digunakan untuk menghilangkan bau hanyir pada tangan.

Namun, bahan-bahan yang kami cadangkan ini merupakan antara jenis bahan yang mudah didapati di dalam rumah anda.

Oleh itu, anda tidak perlu keluar ke kedai lagi semata-mata mahu mendapatkan bahan lain untuk menghilangkan bau tersebut.

Selamat mencuba!

Sekian sahaja perkongsian mengenai cara untuk menghilangkan bau hanyir ikan pada tangan yang sangat mudah dan berkesan. Semoga perkongsian ini dapat membantu dan memberi manfaat kepada anda untuk menghilangkan bau hanyir pada tangan.

Sumber: HelloDoktor

Baca: “Sekelip Mata Bisnes Boleh Lingkup,” Ini Realiti Peniaga Di KL Kena Hadam Bila Duit ‘Rolling’ Modal Tak Cukup

Noorliyana Ishak