Siakap Keli
bts army indonesia sumbangan tragedi stadium
Kredit: detik news & CNN Indonesia

‘BTS Army Indonesia’ Kutip Sumbangan RM137,000 Untuk Mangsa Tragedi Rusuhan Stadium

JAKARTA – Peminat band K-pop terkemuka BTS di Indonesia berjaya meraih kutipan sumbangan sebanyak RM137,000 untuk disalurkan kepada keluarga mangsa-mangsa tragedi rusuhan di Stadium Kanjuruhan baru-baru ini.

Menurut laporan CNN Indonesia, dana sumbangan itu terkumpul melalui projek hasil inisiatif BTS Army Project Lombok menerusi laman sesawang kitabisa.com yang disumbangkan oleh kira-kira 15,807 penderma prihatin.

Pada asalnya tempoh sumbangan dijangka berakhir pada 16 Oktober ini bagaimanapun ia berlangsung dengan lebih cepat kerana sumbangan pantas diterima daripada orang ramai.

Bukan sahaja tarikh penutup kutipan diawalkan, bahkan jumlah sumbangan yang berjaya diperolehi juga turut melebihi sasaran asal iaitu hanya RM4,600 sahaja.

“Army dan orang baik, kami ucapkan terima kasih atas penyertaan dalam projek derma Army Indonesia untuk Kanjuruhan. Pendermaan ini sudah ditutup,” jelas kenyataan @BTS_AHC_IDN.

Dalam kenyataan tersebut juga, mereka mengatakan ‘team’ (BTS Army Lombok) akan fokus kepada derma yang telah terkumpul terlebih dahulu sehingga bantuan dapat disalurkan secara langsung kepada mangsa.

“Dan jika masih diperlukan, pendermaan ini akan dibuka kembali,” tambah kenyataan itu lagi.

Kredit: CCN Indonesia

Difahamkan, agensi berita CNN Indonesia turut meminta izin kepada BTS Army Help Center Indonesian untuk membantu mengutip sumbangan tersebut.

Sementara itu menurut artikel yang dimuat naik, mereka turut bakal menyalurkan bantuan tersebut bersama Army Malang dan sukarelawan-sukarelawan kelab bola sepak Arema FC yang membantu dari segi data maklumat serta koordinat wilayah.

Menurut jurucakap Hardyanti bantuan akan disasarkan kepada individu-individu yang kehilangan ahli keluarga mereka dalam tragedi rusuhan itu dan ketika ini pendataan mangsa sedang dalam proses dikemas kini.

“Rancangannya, kami akan tetapkan formulasi untuk itu, misalnya tetapkan peringkat yang memerlukan dana dengan segera kami tetapkan sebanyak RM1530.27.

“Sementara untuk mangsa yang mengalami kecederaan akan menerima (sumbangan) RM918 dan sebagainya,” jelasnya.

Merujuk laman sesawang kitabisa.com, dana terkumpul (setakat dilaporkan) adalah berjumlah RM137,000 namun jumlah sebenar boleh disumbangkan hanyalah RM126,000 kerana sebahagiannya perlu menanggung kos operasi web sebanyak RM6,600.

Imbas kembali, tragedi rusuhan di Stadium Kanjuruhan, Malang itu tercetus selepas Arema FC tewas 2-3 kepada Persebaya dalam perlawanan pada 1 Oktober baru-baru ini.

Kredit: detiknews

Difahamkan, penyokong Arema FC yang tidak berpuas hati dengan kekalahan kelab tersebut tekad turun ke padang sebelum memulakan rusuhan tunjuk perasaan.

Oleh hal demikian pihak polis terpaksa bertindak melepaskan gas pemedih mata secara rambang sehingga kumpulan perusuh terpaksa berlari menyelamatkan diri sambil tolak-menolak menuju ke pintu keluar.

Untuk rekod, jumlah nyawa yang terkorban setakat yang dilaporkan dua hari lepas ialah sebanyak 174 orang termasuk dua anggota polis.

Sumber: CCN Indonesia

Florence Nuar