Siakap Keli

Netflix Bakal Kenakan Caj Tambahan Untuk Perkongsian Akaun Bermula 2023?

Netflix memberi amaran kepada ‘penumpang-penumpang’ perhidmatan kerana syarikat gergasi tersebut merancang untuk melaksanakan tindakan keras terhadap amalan perkongsian akaun.

Syarikat tersebut mengatakan bahawa pihak mereka mungkin akan mengenakan caj tambahan terhadap pelanggan  yang berkongsi akaun Netflix pada tahun depan.

Ura-ura berkenaan pengenalan caj tambahan tersebut sudahpun kedengaran sejak penghujung tahun lepas lagi. Ia selepas Netflix merekodkan keuntungan yang lebih rendah selain jumlah langganan yang merosot.

“Kami bercadang untuk mengenakan caj terhadap perkongsian akaun dan perkara ini akan dimulakan secara meluas pasa awal tahun 2023.

“Selepas mendengar maklum balas daripada pelanggan, kami akan menawarkan kelebihan kepada sesiapa yang berkongsi akaun agak dapat menguruskan peranti-peranti mereka dengan lebih mudah. Mereka juga boleh membuat sub akaun untuk keluarga dan rakan-rakan dengan mengenakan sedikit bayaran,” umum Netflix.

Gambar hiasan | Kredit: Getty Images

Skim baharu ini merupakan salah satu cara mengawal kesan perkongsian kata laluan yang telah menjadi satu barah terhadap syarikat tersebut, sejak awal pelancarannya. Pihak Netflix juga pernah meminta para penggunanya untuk tidak berkongsi kata laluan dengan orang luar.

Masalah yang disebabkan daripada amalan perkongsian akaun

Amalan ini telah menyebabkan Netflix hilang hasil pendapatan lebih daripada $6 bilion (RM28.42 bilion) setiap tahun, berpunca daripada sikap sesetengah yang menumpang pada akaun pengguna yang lain.

Masalah ‘peminjam akaun’ ini kelihatan sudah sampai kemuncak apabila syarikat penstriman gergasi tersebut kehilangan lebih daripada satu juta pelanggan pada tahun ini.

Sungguhpun begitu, pihak Netflix masih lagi tidak mengumumkan berapa jumlah caj tambahan yang bakal dikenakan terhadap pengguna tambahan.

Netflix kini sedang menguji beberapa solusi untuk meningkatkan pertumbuhan pelanggan baharu. Sebagai contoh, syarikat tersebut mula mengenakan bayaran terhadap akaun yang dilog masuk selain daripada alamat pendaftaran akaun bagi pasaran Latin Amerika.

Selain itu, syarikat penstriman video tersebut menerangkan bahawa kos bagi pengguna tambahan adalah berbeza-beza mengikut jenis pelan. Sebagai contoh, bagi pemilik akaun yang mengambil pelan Netflix yang baharu, iaitu pelan yang lebih murah dan mengandungi iklan akan dikenakan cagaran yang lebih murah untuk pengguna tambahan.

Tambahan pula, bagi sesiapa yang ingin menamatkan terus perkhidmatan penstriman mereka menerusi perkongsian akaun, syarikat tersebut telah mengumumkan pelancaran tetapan untuk memindahkan sub akaun daripada  akaun utama.

Ini dapat mengeluarkan sub akaun daripada akaun utama dan menukarkan status akaun tersebut menjadi satu akaun persendirian yang baharu.

BACA: Kos Sara Hidup Naik & Nak Berjimat, Hampir Sejuta Warga UK Batal Langganan Netflix, Amazon Prime & Disney+

Sumber: New York Post 

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma