Siakap Keli
KKM Kesan Lima Produk Kosmetik Kandungi Racun Berjadual
Gambar: Kementerian Kesihatan Malaysia

KKM Kesan Lima Produk Kosmetik Kandungi Racun Berjadual

KKM Kesan Lima Produk Kosmetik Kandungi Racun Berjadual

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya mengesan lima jenis produk kosmetik yang dilapor mengandungi kandungan racun berjadual.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata Bahagian Regulatori  Farmasi Negara (NPRA) KKM menggesa orang awam untuk mengelakkan daripada membeli dan menggunakan produk-produk kosmetik dikesan mengandungi racun terlarang itu.

Lima produk tersebut ialah Karisma Birds Nest Gel (mengandungi Hydroquinone dan Tretinoin), Haemun Cream (Miconazole) dan tiga lagi produk mengandungi merkuri iaitu Sweet 13 Skincare Treatment Cream, Ninaskincare Skin Puteh Moisturizer serta Skin Dessert Cream.

“Produk yang mengandungi hydroquinone, tretinoin dan miconazole merupakan ubat yang perlu didaftarkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan atas nasihat pakar kesihatan.

“Susulan daripada itu, notifikasi berhubung produk tersebut telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia,” ” kata Noor Hisham dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, penjual dan pengedar perlu menghentikan penjualan serta pengedaran barangan kosmetik berkenaan dengan serta-merta kerana ia melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Gambar: KKM

Oleh itu, individu yang melakukan kesalahan bakal disabitkan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.

Individu juga dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Manakala syarikat yang melakukan kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

“Orang awam yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers,” jelasnya lagi.

Sehubungan itu, orang awam turut digalakkan untuk menyemak status pemberitahuan sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi  ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.

Fakta tentang hydroquinone, tretinoin & merkuri

Gambar: KKM

Untuk pengetahuan, hydroquinone boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV merbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

Sementara itu, penggunaan tretinoin tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, menggelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

Anti-fungal (miconazole) yang diguna secara tidak terkawal pula boleh meningkatkan risiko kerintangan dan seterusnya mengurangkan keberkesanannya untuk merawat penyakit jangkitan pada masa hadapan.

Manakala merkuri pula dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan. Ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada bahagian buah pinggang dan sistem saraf selain juga boleh mengganggu perkembangan kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?