Siakap Keli
Takeoff Penyanyi Rap Maut Ditembak
Gambar: Instagram @yrntakeoff via Tribunnews

Penyanyi Rap Takeoff Dilapor Maut Ditembak

Penyanyi Rap Takeoff Dilapor Maut Ditembak

Texas – Salah seorang penyanyi daripada kumpulan rap Migos, Kirshnik Khari Ball atau dikenali sebagai Takeoff dilaporkan maut selepas ditembak di Houston, semalam.

Memetik laporan CNN, pihak polis menerima maklumat berhubung kes tembakan penyanyi tersebut sekitar jam 2.34 pagi waktu tempatan.

Ketua Jabatan Polis Houston, Troy Finner dalam satu sidang akhbar semalam berkata sewaktu tiba di 810 Billiard & Bowling Houston, pihaknya telah mengesahkan mangsa yang berusia 28 tahun maut di tempat kejadian.

Hasil siasatan awal mendapati, terdapat sebuah parti tertutup yang diadakan di lokasi mangsa ditemui mati.

Tambahan lagi, seorang lelaki berusia 23 tahun dan wanita berumur 24 tahun turut ditemui cedera dalam insiden tembakan itu.

Bagaimanapun, kedua-dua individu terbabit dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius dan telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.

“Kebanyakan orang ramai melarikan diri dari tempat kejadian,” kata pihak polis.

Berita pemergian mendiang memberi kesan yang mendalam kepada komuniti hip-hop di negara tersebut ekoran seorang penyanyi rap, PnB Rock turut maut ditembak pada September lalu.

Untuk makluman, Takeoff dilahirkan di Lawrenceville, Georgia pada 18 Jun 1994. Beliau memulakan kerjayanya dengan  membuat persembahan bersama bapa saudaranya dan rakan rap, Quavo serta Offset sebagai kumpulan Migos pada tahun 2008.

Kumpulan itu mula menempah nama dalam industri hiburan menerusi single pertama, Versace pada tahun 2013. Kejayaan mereka diteruskan sehingga pada tahun 2016 dengan lagu hit, Bad and Boujee yang menampilkan artis Lil Uzi Vert.

Sumber: CNN

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?