Polis Peru Menyamar Jadi Avengers, Guna Tukul Thor ‘Tumbangkan’ Tokan Dadah Ketika Sambutan Halloween
Sepasukan polis Peru bertindak kreatif menyamar sebagai adiwira pasukan Avengers bagi menangkap sekumpulan pengedar dadah sewaktu sambutan Halloween, lapor Daily Star.
Operasi yang disebut sebagai “Operasi Marvel” itu menggunakan watak Spider Man, Captain America, Thor dan juga satu lagi watak adiwira perempuan Catwoman.
Empat anggota polis dikatakan berpura-pura sedang merakam video dalam promosi untuk sambutan konsert malam Halloween pada akan datang.
Anggota itu kemudian berjalan melalui jalan-jalan di Lima sehingga sampai ke rumah sasaran mereka.
Sejurus pasukan itu sampai ke rumah sasaran, Captain America dilaporkan menggunakan tukul Thor untuk memecahkan pintu rumah sasaran.
Selain empat anggota tersebut, 10 anggota lain turut berada di sekitar kawasan rumah sasaran sebagai pasukan sokongan.
Berdasarkan satu kenyataan polis semalam, penjenayah itu dikatakan menyangka kejadian pecah masuk rumah itu sebagai satu ‘prank’ Halloween.
Namun pada akhirnya, penjenayah itu menyedari serbuan tersebut sejurus selepas Spider-Man bertindak menyerang dan menumbangkan salah seorang pengedar dadah dan menahannya di lantai.
Serbuan itu telah membawa kepada penahanan tiga lelaki dan seorang wanita, serta rampasan sebanyak 3,250 bungkusan kecil pes kokain, 287 beg kokain dan 127 beg berisi ganja.
Menurut laporan, 1 kilogram pes kokain dijangka dijual pada harga kira-kira RM 1,786 di Peru manakala kokain hidroklorida yang merupakan jenis yang paling tulen dijual pada harga sekitar RM 4,705.
“Di bangunan ini, seisi keluarga mengabdikan diri mereka kepada penjualan dadah secara kecil-kecilan, termasuk ibu bapa dan anak-anak mereka.
“Mereka akan menjual dadah itu di taman berhampiran. Pada waktu mereka tidak menjual dadah, mereka akan pergi ke jalan berjampiran dan mencuri telefon bimbit orang awam,” kata Kolonel Polis David Villanueca kepada El Pais.
Sumber: Daily Star