Lebih 30 Penonton Dilapor Pengsan, Konsert Kumpulan K-Pop NCT 127 Dihentikan
Konsert kumpulan K-pop, NCT 127 yang berlangsung di Indonesia Convention Exhibition (ICE) terpaksa dihentikan selepas lebih 30 orang dilaporkan pengsan susulan insiden tolak menolak yang berlaku semasa konsert berlangsung, lapor CNN Indonesia.
“Mengikut perjanjian antara kami dan pihak penganjur, oleh kerana sudah lebih 30 orang penonton yang pengsan dan untuk menjaga keselamatan semua, kami akan menghentikan konsert ini,” kata Polis di atas pentas pada malam tadi.
Kejadian itu dikatakan bermula sewaktu NCT 127 mempersembahkan lagu Paradise. Kesemua ahli kumpulan itu dilaporkan telah bergerak ke setiap sisi pentas untuk memberikan bola kepada peminat.
Namun, keseronokan itu terhenti seketika apabila Taeyong selaku ketua kumpulan tersebut meminta ahlinya berhenti menyanyi.
“Kejap, kejap. Yang depan tolong berundur,” pinta Taeyong.
Persembahan lagu itu juga turut dihentikan. Ahli kumpulan itu meminta peminat yang berada di hadapan untuk berundur dan jangan terlalu rapat.
“Beri ruang sedikit,” ujar ahli kumpulan tersebut.
“Ada yang ada masalah ke?” tanya Haechan ahli kumpulan NCT 127 tersebut.
“Kita berehat dahulu ya,” kata mereka lagi kepada peminat.
“Yang dekat sana okay ke? tanya salah seorang ahli kumpulan itu kepada penonton yang berada di sebelah kanan pentas.
“Kita boleh teruskan tapi yang paling penting keselamatan semua. Janji jangan ada yang tolak menolak,” kata Doyoung ahli kumpulan NCT 127 tersebut.

Menurut JawaPos, pihak polis telah bertindak menghentikan konsert tersebut sejurus selepas itu.
Pihak polis juga turut mengawasi proses pergerakan balik para peminat dari lokasi agar terkawal dan tidak terjadi tolak menolak semula.
Berdasarkan pemantauan yang dibuat agensi berita CNN Indonesia, kira-kira 30 orang penonton telah pengsan dalam kejadian berkenaan. Bagaimanapun, masih belum diketahui kategori penonton yang dibawa ke kawasan rehat dan perubatan di konsert berkenaan.
Sumber: CNN Indonesia, JawaPos