Siakap Keli
doktor lelaki
Gambar: Thinkstock via Health Detik

Apa Hukum Doktor Lelaki Sambut Kelahiran Bayi? Ketahui Jawapan Mufti

Apa Hukum Doktor Lelaki Sambut Kelahiran Bayi? Ketahui Jawapan Mufti

Umum mengetahui, aurat wanita tidak boleh didedahkan kepada lelaki kecuali jika lelaki itu suaminya yang sah. Secara umumnya aurat wanita semasa solat dan di luar solat (ajnabi) ialah seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan.

Namun persoalan akan muncul apabila di saat wanita yang hamil mahu melahirkan anak. Tidak dinafikan ada suami memohon pihak hospital untuk menggunakan khidmat doktor bedah perempuan disebabkan mahu menjaga aurat isterinya.

Bagaimanapun dalam masa sama, ada segelintirnya beranggapan bahawa doktor bedah lelaki tidak sepatutnya mengurus dan menyambut kelahiran bayi kerana faktor aurat (oleh si wanita hamil tersebut). Tapi adakah ia sahih?

Adakah benar tanggapan bahawa doktor lelaki memang tidak dibenarkan untuk menyambut kelahiran? Bagaimana pula jika keadaan terdesak atau darurat dan hospital berkenaan hanya mempunyai doktor lelaki? Apakah hukumnya?

Oleh itu, bagi merungkai kekeliruan ini, mari kita ikuti perkongsian jawapan dan hukum daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengenai persoalan tersebut menerusi artikel di bawah.

Al-Kafi #674: Hukum Doktor Lelaki Menyambut Kelahiran Bayi

Gambar: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Soalan:

Salam. Apakah hukum doktor lelaki menyambut kelahiran dan melihat faraj wanita sewaktu bersalin sedangkan di hospital yang sama masih terdapat doktor perempuan? Bagaimana aurat wanita dalam perubatan?

Jawapan:

Waalaikumussalam wbt,

Tidak dibenarkan di sisi Hukum Syarak bagi lelaki untuk melihat kepada aurat wanita ajnabi, melainkan terdapat ḥājah (keperluan) dan ḍarurah (keperluan mendesak) untuknya. Antara bentuk pengecualian ialah rawatan al-faṣdu (venesection, venipuncture, phlebotomy), berbekam, dan rawatan am. Ini kerana jika diharamkan akan mendatangkan ḥaraj (kesukaran) sedangkan ḥaraj dihilangkan oleh Syarak.

Justeru harus bagi lelaki merawat wanita dan wanita merawat lelaki, dengan syarat

  • Jika wujud perawat yang muslim, maka tidak boleh digantikan.
  • Ditemani oleh mahram, suami atau wanita yang thiqah (terpercaya).
  • Ketiadaan perawat wanita, atau perawat lelaki bagi pesakit lelaki.
  • Perawat boleh melihat kepada bahagian-bahagian badan selama mana ada keperluan kepadanya. Ini berdasarkan hadis Jabir RA:

أَنَّ أُمَّ سَلَمَةَ اسْتَأْذَنَتْ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْحِجَامَةِ فَأَمَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَبَا طَيْبَةَ أَنْ يَحْجُمَهَا قَالَ حَسِبْتُ أَنَّهُ قَالَ كَانَ أَخَاهَا مِنَ الرَّضَاعَةِ، أَوْ غُلَامًا لَمْ يَحْتَلِمْ

Maksudnya: “Bahawa Umm Salamah (isteri Nabi SAW) meminta izin daripada Rasulullah SAW untuk berbekam lalu Nabi meminta Abu Taibah untuk menjalankan rawatan bekam ke atas Umm Salamah.”

Berkata Jabir: “Aku kira bahawa Abu Taibah itu adalah saudara susuan Umm Salamah atau budak kecil yang belum baligh.”

Hadis riwayat Muslim (2206)

Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaili (4/50); Fiqh al-Manhaji (1/126-127)

Berkata Syeikh Mulla Ali al-Qari Rahimahullah bagi syarah hadis ini:

قد صرح علماؤنا بأن غير المحرم أيضا عند الضرورة يحجم ويقصد ويختن وقال الطيبي – رحمه الله – : يجوز للأجنبي النظر إلى جميع بدنها للضرورة وللمعالجة

Maksudnya: “Telah dijelaskan oleh para ulama kita bahawa sekalipun bukan mahram boleh untuk menjalankan rawatan bekam, fasdu, dan khitan.” Berkata al-Taibi Rahimahullah: “Dibenarkan bagi lelaki ajnabi untuk melihatkan pada sekalian tubuh wanita bagi tujuan darurat dan rawatan.” Rujuk Marqah al-Mafatih ٍ (no. 3103)

Justeru, termasuklah dalam kategori rawatan ini ialah menyambut kelahiran kerana ia melibat nyawa ibu dan anak jua. Kami syorkan hendak semua dawabit atau syarat-syarat yang dinyatakan di atas hendaklah dipatuhi bagi memastikan ketenangan bagi pihak pesakit, hospital dan keluarga,

Wallahua’lam.

Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana