Siakap Keli

Produk Minuman Jenama Nutri Malt Tidak Memiliki & Tidak Layak Mohon Sijil Halal Malaysia – JAKIM

Produk minuman jenama Nutri Malt keluaran syarikat Carlsberg Brewery Malaysia Berhad dilaporkan tidak memiliki dan tidak layak untuk memohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia. 

Perkara tersebut dijelaskan sendiri oleh pihak Bahagian Hab Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia menerusi laman Facebook rasmi milik mereka sebentar tadi. 

Difahamkan, penjelasan tersebut dilakukan ekoran status produk tersebut yang tular di media sosial tempoh hari dan penjelasan tersebut dibuat bertepatan dengan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020 Klausa 6 (2) yang termaktub seperti berikut. 

“Syarikat yang mengeluarkan dan/atau edar produk halal dan tidak halal (termasuklah perkhidmatan penghantaran makanan) TIDAK LAYAK untuk memohon pensijilan halal Malaysia,” maklum JAKIM.

Dalam pada itu, JAKIM juga menyarankan agar umat Islam untuk memilih produk yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang telah diberikan. 

“Selaku pihak berkuasa pensijilan halal Malaysia, kami menyarankan agar umat Islam memilih produk yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia kerana ia bukan sahaja dijamin halal. 

“Buka itu sahaja, ia juga toyyiban iaitu suci, bersih dan selamat serta mengikut garis panduan dan perundangan berkaitan halal yang telah ditetapkan di negara ini,” jelas JAKIM melalui hantaran itu lagi.

Disamping itu, mereka juga turut menyertakan beberapa pautan untuk memudahkan para pengguna menyemak status halal produk atau premis makanan iaitu di Portal Rasmi Halal Malaysia, Aplikasi Telefon Pintar SmartHalal dan Aplikasi Telefon Pintar Verify Halal. 

BACA: “Selalu Dibanding Dengan Adik Beradik, Kecewa Mak Ayah Tak Hargai Result Aku Walau Ada A..”

Sumber: Bahagian Hab Halal, JAKIM (Facebook)

Faiz Mustafa