Siakap Keli

Program Pendigitalan Sektor Peruncitan, Food Bank, Sara Hidup, eBaucar PJM & Program Usahawan Muda Rancakkan Ekonomi Setempat

SONG, 8 November 2022 – Yang Berhormat Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna hari ini telah menyempurnakan Program Pendayaupayaan Pengguna melalui Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI), Food Bank, Sara Hidup, eVoucher PJM dan Program Usahawan Muda (PUM) di Song dan Kapit pada 8 dan 9 November 2022.

Program Pendayaupayaan Pengguna merupakan salah satu inisiatif dalam menyahut misi Kerajaan dan Kementerian untuk memastikan pengguna mendapat pendidikan kepenggunaan yang sewajarnya. Program ini adalah platform yang mampu memberi pendedahan dan advokasi secara lebih inklusif meliputi pelbagai pengguna. Dalam konteks ini, KPDNHEP telah menggerakkan susun kerja dalam memastikan agenda kepenggunaan menjadi salah satu objektif utama dalam menyantuni keperluan rakyat terutamanya di luar bandar.

Pelbagai pengisian kepengunaan yang dijalankan antaranya pengagihan 600 kotak sumbangan Food Bank, pengenalan Program
Usahawan Muda (PUM) daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Sara Hidup, eVoucher PJM dan lain-lain yang berkaitan.

Selain itu, Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan atau Retails Digitalisation Inisiative (ReDI) turut diadakan dalam memastikan peniaga kecil di luar bandar ini tidak terus ketinggalan di dalam arus perdana dan bersama-sama dalam melibatkan diri menerusi model baharu perniagaan secara digital. Inisiatif ini bukan sahaja dapat mengurangkan kebergantungan kepada wang tunai, malah memberi pelbagai manfaat kepada pengguna dan peniaga dalam tiga (3) aspek iaitu Mudah, Cepat dan Selamat.

Sehingga 31 Oktober 2022, sebanyak 314 peniaga di Kapit dan 5,596 peniaga di seluruh negara telah berjaya didaftarkan di bawah program ReDI secara kolaborasi strategik bersama Majlis Daerah Kapit, Bank Negara Malaysia dan rakan strategik ewallet terpilih. Bagi menyokong pelaksanaan ReDI ini juga, Kementerian telah bersetuju menyalurkan peruntukan berjumlah RM18,000 kepada 600 pengguna dan 200 peniaga bagi melaksanakan program insentif baru secara tanpa tunai ini.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, pihak pemain industri dan orang ramai boleh menghubungi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) di talian hotline 03- 8882 5881/ 5905 atau melalui emel kepada [email protected]

YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Song, 8 November 2022

Amira

Love yourself.