Siakap Keli
Semangat & Kekal Positif
Gambar via Mothership

Aktif & Semangat, Lelaki Hidap Dua Penyakit Kronik Termasuk Kanser Tahap 4 Pesan “Nikmatilah Hidup Sepenuhnya”

Semangat & Kekal Positif Walaupun Hidap Dua Penyakit Termasuk Kanser Jadi Perhatian Umum

“Sudah jatuh, ditimpa tangga,” itulah peribahasa yang sesuai untuk menggambarkan situasi seorang lelaki kelahiran Singapura apabila dia disahkan menghidap penyakit lupus dan dalam masa yang sama juga  menghidap kanser paru-paru tahap 4 pada usianya 34 tahun. 

Memetik Mothership, selepas dia mengalami bengkak secara berpanjangan pada bahagian muka dan kaki, Olsen Goh memutuskan untuk melakukan pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh pada Mac 2019. Namun, dia tidak menjangka akan menerima diagnosis yang lebih teruk. 

“Saya rasa seperti seorang yang normal dan seringkali melakukan senaman. Betul, saya kadang-kadang akan tidur agak lewat, akan tetapi saya juga kerap bersukan sehingga empat kali dalam seminggu,” jelasnya, lapor Mothership. 

Difahamkan, bengkak tersebut ternyata disebabkan oleh kegagalan buah pinggang yang berpunca dari penyakit lupus iaitu penyakit autoimun di mana sistem imun seseorang menyerang tisu dan organ mereka sendiri.

Selain itu, Goh juga dimaklumkan menghidap kanser paru-paru tahap 4 dan sudah mula merebak ke bahagian tulang belakangnya. 

Gambar via Mothership

Tiada sejarah merokok

Menurut Mothership, Goh tidak mempunyai sejarah merokok dan juga tidak mempunyai susur galur dari ahli keluarga menghidap penyakit lupus. Penyakit berkenaan dipercayai biasanya didorong oleh faktor genetik dan juga persekitaran. 

Sementara itu, bagi Stage 4 Non-Small Cell Lung Cancer (NCLC – kanser paru-paru) pula biasanya dihadapi oleh mereka yang lebih berusia, namun doktor memberitahu Goh bahawa terdapat juga sebilangan kecil yang didiagnosis pada usia yang agak muda. 

Dalam pada itu, Penolong Klinikal dan juga Perunding di Pusat Kanser Singapura, Profesor Tanujaa Rajasekaran menasihatkan Goh agar kekal positif dan menumpukan perhatian terhadap perkara yang dia gemar dan lebih banyak meluangkan masa bersama keluarga. 

“Dia tidak pernah mempersoalkan kenapa dia menghidap kanser dan Goh Olsen merupakan orang yang paling berani dan sentiasa positif yang pernah saya kenal,” jelasnya. 

Gambar via Mothership

“Sentiasa menjalani kehidupan dengan sebaiknya”

Apa yang paling penting buat Goh Olsen ketika ini adalah keluarga dan kesembuhannya. Menurutnya, perspektif untuk kekal positif itu didorong selepas bapanya meninggal dunia yang juga berpunca dari kanser pada tahun 2000. 

Dia berpegang kepada kata-kata yang berbunyi “sentiasalah menjalani kehidupan dengan sebaiknya dan perlu sentiasa bersyukur”. 

Walaupun dia masih belum bebas daripada penyakit kanser, dia tetap menyusun beberapa aktiviti untuk dilakukan pada bulan Desember ini ketika dia sepatutnya berehat daripada rawatan kemoterapi.

Dia juga merancang untuk membawa keluarganya bercuti selama sebulan di Kanada. 

Gambar via Mothership

Bertanya soal tips yang boleh dikongsikan kepada pesakit lain yang juga bertarung melawan kanser, Goh memberikan jawapan yang sangat mudah dan ringkas iaitu perlu sentiasa bersikap positif dan percaya kepada doktor yang merawat mereka. 

“Saya tahu ramai pesakit yang mungkin akan berasa cemas dan cuba untuk mencari maklumat sendiri di internet, tapi tidak semua artikel dalam talian itu memberi maklumat yang tepat. 

“Sebahagian daripada rakan dan juga keluarga juga mungkin akan memberi cadangan rawatan alternatif yang mungkin tidak mempunyai rujukan atau sumber saintifik. 

“Perkara ini secara tidak langsung mungkin boleh menjejaskan kesihatan mental kita dan memberikan tekanan yang juga boleh menjejaskan proses kesembuhan penyakit yang kita alami.

“Walaupun tidak semua jenis penyakit itu boleh diubat, namun ia bukanlah pengakhiran hidup seseorang itu. Kini, dengan kemajuan perubatan dan penyelidikan yang dilakukan setiap hari, banyak rawatan yang terbukti secara klinikal tersedia untuk semua pesakit kanser. 

“Jadi, teruskan bersikap positif dan percaya dengan setiap proses dan perjalanan untuk sembuh,” jelasnya mengakhiri perbualan.

Semoga kisah Goh ini menjadi penguat semangat untuk semua individu di luar sana yang diuji penyakit sama dengannya.

BACA: “Weh Anak Gajah Dah Datang,” Jadi Tradisi Toksik Sejak Dulu, Ini Antara Buli Lisan Yang Sering Dianggap ‘Gurauan’

Sumber: Mothership

Faiz Mustafa