Siakap Keli
Ash Ketchum
Gambar: Twitter Pokemon

Selepas 25 Tahun Mengembara, Ash Ketchum Akhirnya Berjaya Jadi Juara Dunia Pokemon

Selepas 25 Tahun Mengembara, Ash Ketchum Akhirnya Berjaya Jadi Juara Dunia Pokemon

Selepas 25 tahun, Ash Ketchum, watak utama dalam siri anime Pokemon akhirnya berjaya menjadi Juara Dunia Pokemon menerusi episod terbaru pada musim ke-25 yang disiarkan pada Jumaat, 11 November 2022. 

Melihat hantaran yang dibuat oleh laman rasmi Twitter Pokemon, Ash telah berjaya memenangi Masters Eight Tournament of The World Coronation Series sekaligus menandakan tujuan Ash mengembara ke seluruh dunia (dunia Pokemon) telah tercapai. 

Sejak musim pertama dilancarkan pada 1997, siri Pokemon mengetengahkan kisah pengembaraan watak utamanya, Ash untuk menjadi pelatih Pokemon terbaik di dunia selepas bertemu dengan makhluk tikus elektrik bewarna kuning, Pikachu pada hari lahirnya yang ke-10.

Bermula daripada pertemuan tersebut, Ash kemudian mengembara dan menempuh pelbagai cabaran serta rintangan, termasuk bertemu dan menguasai spesis Pokemon baharu selain sering diburu Team Rocket. Ash juga bertemu dengan rakan-rakan yang lain di sepanjang perjalanannya itu. 

Dalam pada itu, kisah pengembaraan Ash dalam dunia Pokemon masih belum pasti sama ada akan diteruskan atau ia hanya berakhir setakat itu sahaja. Mungkin juga dia akan hadir pada musim tambahan yang baru pada masa akan datang. 

Walau bagaimanapun, kejayaan Ash yang akhirnya berjaya menjadi juara patut diraikan meskipun dia memerlukan masa sehingga 25 tahun untuk menampakkan hasil. 

Untuk rekod, siri yang berasal dari permainan video ini telah disiarkan selama lebih 1,200 episod. 

Siri Pokemon mempunyai kumpulan pengikutnya yang tersendiri dan banyak pihak menganggap bahawa Pokemon merupakan anime paling berjaya di dunia.

Menurut laporan CBR.com, nilai Pokemon dianggarkan melebihi RM 465 bilion dan berterusan bertambah. Selain sirinya yang masih bersiaran sehingga kini, pelbagai merchandise berkaitan Pokemon turut laku dijual dalam pasaran, antaranya adalah kad permainan Pokemon.

Malah, Pikachu juga dianggap sebagai salah satu maskot atau maskot anime paling popular di dunia sehinggakan sesiapa sahaja yang melihatnya, pasti dapat mengenalinya dengan mudah.

BACA: “Sampai 85% Kena Potong,” 150 Peniaga “Online” Dicari Pihak Tertentu, Ada Kaitan Dengan RM60,000

Sumber: BBC, Pokemon Official

Faiz Mustafa