Siakap Keli
Gambar: Tom Ford

Estee Lauder Setuju Beli Jenama Tom Ford Dengan Harga RM12.6 Bilion

Jenama produk kecantikan terkenal, Estee Lauder mengumumkan bahawa mereka telah bersetuju untuk membeli syarikat Tom Ford dengan harga $2.8 bilion (RM12.6 bilion)

Pembelian itu akan menjadi urus niaga terbesar yang pernah dilakukan oleh Estee Lauder setakat ini.

Syarikat tersebut memperoleh perjanjian itu dengan mengatasi pembidaan daripada pemilik Gucci, Kering SA, malah turut melesenkan produk kosmetik dan minyak wangi jenama Tom Ford.

Menurut Estee Lauder, pengambilalihan itu akan membuka peluang baharu kepada jenama tersebut.

“Saya berasa sangat gembira dengan pengambilalihan ini,” luah Tom Ford dalam satu kenyataan bersama Estee Lauder.

Dalam pada itu, pereka fesyen itu turut menjelaskan bahawa Estee Lauder telah menjadi rakan kongsi yang luar biasa sejak hari pertama syarikat itu dibuka.

Bukan itu sahaja, Tom Ford sendiri memaklumkan bahawa dia akan kekal dalam kedudukannya yang terkini sebagai pengarah kreatif, sekurang-kurangnya sehingga tahun 2023.

Seorang penganalisis telah meramalkan bahawa pasaran untuk barangan mewah akan meningkat di peringkat global dalam masa terdekat.

Negara China juga perlahan-lahan sudah menarik balik sekatan akibat COVID-19, yang membolehkan pembeli menyambung semula tabiat membeli-belah mereka.

Malah, pembeli di negara itu turut menyumbang 35% daripada permintaan global bagi barangan mewah sebelum musim pandemik berlaku.

Selain itu, pertumbuhan pasaran bagi barangan mewah secara global dijangka akan mencecah €1.4 trilion pada tahun 2022 walaupun berlaku kemerosotan dalam ekonomi global, lapor seorang penyelidik di Bain & Company.

Susulan itu, pertumbuhan ekonomi dalam sektor tersebut mungkin boleh dilihat bermula tahun 2023 sehingga tahun 2030.

Tambahan pula, pasaran bagi barangan mewah secara peribadi di seluruh dunia, khusuSnya pakaian, beg dan komestik dijangka akan mencapai nilai €353 bilion menjelang akhir tahun 2022, berbanding tahun sebelumnya.

Tom Ford, yang pertama kali melancarkan jenamanya pada tahun 2005 merupakan ketua semasa Majlis Pereka Fesyen Amerika dan pernah bekerja sebagai pengarah kreatif di Gucci dan Yves Saint Laurent pada tahun 1990-an dan awal 2000-an.

Sumber: BBC

Farah Nabilah