Siakap Keli
G20 Indonesia
Gambar: G20 Indonesia

Tengah Bersidang Di Indonesia, Kenali Apa Itu G20 & Kenapa Banyak Negara Termasuk Malaysia Tak Terlibat

Pada tahun ini, negara jiran kita, Indonesia telah menjadi tuan rumah bagi Sidang Kemuncak G20 di Bali. Terdapat pelbagai pemimpin utama daripada pelbagai negara telah tiba di negara tersebut untuk menghadiri sidang berkenaan. Namun begitu, adakah anda tahu apa itu G20 sebenarnya dan signifikannya kepada dunia?

Secara umumnya, G20 atau Group of Twenty (Kumpulan Dua Puluh) merupakan platform multilateral strategik yang menghubungkan ekonomi negara-negara maju utama dan ekonomi negara-negara yang sedang berkembang pesat.  Pertubuhan ini memegang peranan strategik dalam melindungi pertumbuhan dan kemakmuran ekonomi.

G20 ini mewakili lebih daripada 80 peratus KDNK dunia, 75 peratus perdagangan dunia dan 60 peratus populasi dunia. Ringkasnya, negara-negara yang terlibat adalah negara-negara kaya yang mempunyai saiz KDNK yang besar, negara perdagangan utama dan mempunyai populasi penduduk yang ramai.

Asal Usul G20

Pertubuhan ini bermula pada 1999 dan ketika itu bermula sebagai platform mesyuarat yang hanya melibatkan Menteri kewangan dan Gabenor Bank Pusat dalam membincangkan polisi-polisi untuk membina keadaan kewangan antarabangsa yang stabil.

Forum tersebut juga  ditubuhkan sebagai satu usaha untuk mencari jalan penyelesaian terhadap krisis ekonomi yang melanda dunia, khususnya Asia, sekitar 1997 sehingga 1999 dengan melibatkan sekali negara yang berpendapatan sederhana dan memiliki pengaruh ekonomi sistemik, termasuklah Indonesia.

Seterusnya, G20 telah berubah menjadi satu persidangan yang diadakan setiap tahun, yang mana melibatkan Ketua Negara dan Kerajaan.

Selain itu, mesyuarat Sherpa yang berperanan untuk menjalankan segala rundingan dan membina muafakat sesama pemimpin, kumpulan-kumpulan berkerja dan acara-acara istimewa juga dijalankan sepanjang tahun.

Negara-negara Ahli – Ahli G20

Seperti yang dikongsikan sebelum ini, tidak semua negara boleh menyertai G20 dan negara-negara yang terlibat biasanya mempunyai KDNK yang tinggi, negara-negara perdagangan utama dunia dan mempunyai populasi penduduk yang besar.

Setakat ini, negara-negara ahli G20 terdiri daripada Argentina, Australia, Brazil, Kanada, China, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Itali, Jepun, Korea Selatan, Mexico, Rusia, Arab Saudi, Afrika Selatan, Turkiye, United Kingdom, Amerika Syarikat, dan Kesatuan Eropah. Manakala Sepanyol dijemput sebagai tetamu tetap.

Setiap tahun, Majlis tertinggi akan menjemput negara-negara tetamu, yang mana akan mengambil bahagian secara sepenuhnya dalam aktiviti G20.

Beberapa organisasi peringkat antarabangsa dan wilayah juga turut menjadi peserta, seterusnya menjamin forum tersebut sebagai sebuah pewakilan yang lebih luas.

Bagaimana pertubuhan ini berfungsi?

Pemilihan majlis tertinggi bagi pertubuhan G20 bagi setiap tahun adalah menerusi sistem giliran sesama negara ahlinya.

Negara yang menjadi Presiden pada masa kini akan berkerja bersama negara ahli yang menjadi Presiden tahun sebelumnya dan negara ahli yang bakal memegang jawatan tersebut pada tahun seterusnya, dikenali sebagai Troika.

Tahun ini, Troika menjadi tanggunjawab Itali (Presiden 2021), Indonesia (Presiden semasa) dan India (Presiden 2022).

Selain itu, pertubuhan G20 juga tidak memiliki sekratariat tetap. Segala agenda dan gerak kerja akan dipenuhi oleh wakil-wakil peribadi untuk setiap pemimpin dalam G20, dikenali sebagai Sherpa bersama-sama Menteri-Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat.

Kemuncak bagi hasil kerja pertubuhan ini untuk setiap kitaran adalah pengeluaran satu kenyataan rasmi yang mengekpresikan komitmen-komitmen dan visi ahli untuk masa hadapan. Kenyataan tersebut digubal daripada cadangan yang dipilih dan hasil daripada mesyuarat menteri dan aliran kerja lain.

Sumber: G20

BACA: Selalu Nampak Depan Pintu? Ini Sebab Penganut Hindu Buat Hiasan Kolam Ketika Deepavali

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma