Siakap Keli

Ramai Tak Tahu, Ini Jasa Bangladesh Kepada Golongan Miskin Seluruh Dunia

Ramai Tak Tahu, Ini Jasa Bangladesh Kepada Golongan Miskin Seluruh Dunia

Jasa Bangladesh kepada golongan miskin di seluruh dunia. Betul ke tajuk artikel ini? Bangladesh seperti kita tahu negara yang serba kekurangan, macam mana boleh berjasa kepada golongan miskin? Di seluruh dunia pula tu? Mungkin soalan-soalan di atas berlegar-legar dalam fikiran apabila anda membaca tajuk artikel ini.

Walaupun Bangladesh dikategorikan sebagai negara miskin, tetapi kemiskinan tidak menghalang seorang rakyat negara itu menghasilkan inovasi yang membantu jutaan manusia sehingga kini.

Semuanya bermula pada awal tahun 1974 apabila Bangladesh dilanda banjir besar yang berlaku di sepanjang Sungai Brahmaputra. Banjir besar telah mengakibatkan banyak kawasan pertanian ditenggelami air dan keadaan ini menyebabkan masalah kekurangan bekalan makanan domestik.

Gambar: Pixabay

Para petani tidak dapat menghasilkan tanaman dan penternakan bagi memenuhi keperluan pengguna. Ekoran ketidakcukupan bekalan makanan, ia mencetuskan kesan berantai iaitu kebuluran di kalangan rakyat negara itu. Ia disifatkan antara krisis kebuluran yang paling dahsyat pernah terjadi dalam abad ke-20.

Bencana kebuluran yang berakhir pada penghujung tahun yang sama menjadikan keadaan ekonomi Bangladesh yang lebih parah kerana negara tidak menghasilkan pendapatan. Ramai rakyat Bangladesh yang dari asalnya miskin menjadi bertambah miskin akibat kerugian yang dialami.

Dua tahun selepas tamat krisis kebuluran, seorang profesor yang dikenali sebagai Muhammad Yunus mendapat ilham untuk membantu penduduk miskin meningkatkan pendapatan dan taraf hidup mereka.

Beliau yang juga bertugas sebagai Pengarah Program Ekonomi Luar Bandar di Universiti Chittagong, mendapati golongan miskin tidak malas seperti anggapan biasa masyarakat sewaktu membuat lawatan ke kawasan miskin berhampiran universiti.

Setiap penghuni rumah yang dilawati telah menghasilkan produk masing-masing untuk dijual seperti perabot daripada buluh, makanan dan barangan keperluan harian. Muhammad Yunus merasa kagum dengan usaha mereka dan berpendapat bahawa pinjaman dalam jumlah yang kecil boleh membantu golongan ini mengembangkan perusahaan mereka.

Melalui kajiannya, Muhammad Yunus mendapati antara masalah yang menyekat perkembangan perniagaan usahawan miskin adalah ketiadaan cagaran pinjaman berbentuk aset dan kadar faedah pinjaman yang sangat tinggi.

Institusi bank komersil enggan memberi pinjaman kepada mereka kerana majoriti usahawan miskin tidak mempunyai aset untuk menjamin bayaran pinjaman. Bank juga tidak membuat keuntungan daripada pinjaman skala kecil dan bimbang peminjam gagal membayar balik pinjaman mereka.

Oleh sebab itu, mereka terpaksa meminjam wang daripada pemberi pinjaman wang tidak berlesen seperti ceti yang mengenakan kadar faedah yang sangat tinggi bagi menggantikan cagaran aset. Demi meneruskan kelangsungan hidup, para peniaga kecil-kecilan ini terpaksa meminjam dengan ceti dan keuntungan perniagaan mereka habis digunakan bagi membayar pinjaman termasuk kadar bunga yang melampau.

Dua isu ini menyebabkan golongan berpendapatan rendah terus terperangkap dalam lingkaran kemiskinan walaupun mereka sudah berusaha bersungguh-sungguh.

Namun, Muhammad Yunus percaya golongan miskin boleh membayar balik pinjaman jika terdapat satu sistem pinjaman tanpa cagaran aset dengan kadar faedah rendah dan pemantauan yang berkesan. Idea awal Muhammad Yunus direalisasikan dengan menggunakan dana dari simpanannya sendiri dan data penduduk yang terjejas daripada seorang pelajarnya bernama Maimuna Begum.

Seramai 42 orang wanita yang mewakili isi rumah di kawasan penyelidikannya menerima pinjaman sebanyak 27 dolar Amerika bagi setiap unit keluarga. Pinjaman mikrokredit itu digunakan sebagai modal menghasilkan dan menjual produk mereka. Muhammad Yunus membuat keuntungan hanya sebanyak 0.02 dolar Amerika bagi setiap pinjaman tersebut.

Program awal mikrokredit ini menghasilkan kejayaan yang memberangsangkan apabila semua peminjam berjaya membuat bayaran pinjaman mengikut tempoh yang ditetapkan.

Melihat hasil yang cemerlang daripada projek perintis tersebut, Muhammad Yunus memperluaskan sasarannya kepada golongan miskin di beberapa negeri di Bangladesh. Beliau membuat pinjaman wang daripada beberapa bank lain di Bangladesh sebagai dana kepada projek tersebut bagi memenuhi permintaan pinjaman.

Usaha peribadi Muhammad Yunus akhirnya mendapat pengiktirafan rasmi daripada kerajaan Bangladesh apabila inisiatif pinjaman kecilan itu diberi lesen perbankan pada 2 Oktober 1983.

Sistem kredit mikro itu dinamakan Projek Bank Grameen yang bermaksud Projek Bank Desa dalam bahasa Benggali. Ia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan sehingga secara rasmi menjadi Bank Grameen yang memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi masyarakat luar bandar.

Gambar: Grameenbank.org

Bagi menjamin bayaran balik pinjaman, Muhammad Yunus memperkenalkan sistem ‘kumpulan kesatuan’ yang dianggotai lima orang ahli. Kumpulan kecil ini akan memohon pinjaman secara serentak dengan ahli-ahlinya menjadi penjamin pinjaman dan pemantau perkembangan perniagaan ahli-ahli lain.

Dua daripada lima ahli ini akan mendapat pinjaman selepas melalui proses temuduga dengan pengurus kawasan. Jika dua peminjam tersebut berjaya membayar pinjaman dalam masa yang ditetapkan, baki tiga ahli kumpulan akan diberikan pula pinjaman. Jaminan daripada ahli kumpulan bertindak sebagai pengganti cagaran tradisional dalam bentuk harta seperti rumah atau tanah.

Kepercayaan dan tekanan daripada rakan kumpulan yang terdiri daripada ahli keluarga atau jiran memberi motivasi kepada peminjam untuk membayar pinjaman mengikut tempoh yang dipersetujui. Semua ahli kumpulan juga digalakkan bekerjasama memberi nasihat dan tunjuk ajar dalam perniagaan agar perniagaan mereka mendapat untung yang akan digunakan untuk membayar pinjaman.

Peratus bayaran balik pinjaman juga adalah tinggi disebabkan sistem berkumpulan yang mendidik setiap ahli kumpulan untuk turut bertanggungjawab dalam memastikan rakan-rakan mereka membuat bayaran pinjaman dengan sempurna dalam tempoh yang ditetapkan.

Model perniagaan Bank Grameen menyasarkan golongan paling miskin dengan memfokuskan 95% pemberian pinjaman kepada wanita. Menurut pelbagai kajian, secara tradisi wanita kurang mendapat kemudahan pinjaman kewangan dan peluang pekerjaan atau perniagaan.

Golongan wanita lazimnya sukar mendapat pinjaman bank tradisional kerana pelbagai sebab. Wanita dilihat sebagai rakan pembuat keputusan dalam isi rumah yang sering dipinggirkan. Hasil kajian Muhammad Yunus mendapati bahawa memberi pinjaman kepada wanita membuahkan impak positif kepada segmen masyarakat yang terpinggir. Wanita yang mempunyai pendapatan kebiasaannya cenderung berkongsi hasil tersebut dengan anak-anak dan keluarga mereka berbanding kebanyakan lelaki.

Berita tentang Bank Grameen yang berjaya membantu golongan miskin memperbaiki taraf ekonomi mereka tersebar ke negara-negara lain di seluruh dunia. Malaysia merupakan antara puluhan negara yang mendapatkan khidmat nasihat serta kepakaran Muhammad Yunus dalam menubuhkan sistem pinjaman mikrokredit yang sama.

Inisiatif ini bermula pada tahun 1986 dengan rancangan ekonomi yang diberi nama Projek Ikhtiar. Universiti Sains Malaysia (USM) diberi mandat mengendalikan program ini dengan menerima bantuan dana dari Kerajaan Negeri Selangor, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Pusat Pembangunan Asia Pasifik (APDC).

Projek Ikhtiar ini disambung dengan penubuhan Amanah Ikhtiar Malaysia yang memberi pinjaman kewangan kepada usahawan dari golongan kurang berkemampuan di Malaysia.

Idea dan kecemerlangan Bank Grameen mendapat pengiktirafan dunia apabila Muhammad Yunus menjadi rakyat Bangladesh pertama yang dianugerahkan Hadiah Keamanan Nobel (Nobel Peace Prize) pada tahun 2006.

Semasa pengumuman nama pemenang, barisan jawatankuasa Hadiah Keamanan Nobel memuji Muhammad Yunus seperti berikut:

“Beliau telah membuktikan bahawa dirinya adalah seorang pemimpin yang berupaya menterjemahkan visi kepada tindakan yang berkesan bagi faedah jutaan manusia, bukan sahaja di Bangladesh, tetapi juga di banyak negara lain. Selama ini pinjaman kepada golongan miskin tanpa cagaran material adalah satu idea yang mustahil.

Namun daripada permulaan yang ikhlas tiga dekad sebelumnya, Muhammad Yunus adalah perintis dan yang pertama dalam mengembangkan sistem pinjaman kecilan menjadi perkakas yang penting dalam perjuangan melawan kemiskinan melalui Bank Grameen”

Sebahagian daripada hadiah anugerah berjumlah 1.88 milion Amerika dolar (2021) digunakan bagi menubuhkan sebuah syarikat yang akan menghasilkan makanan bernutrisi tinggi dengan kos rendah kepada komuniti miskin. Manakala bakinya pula digunakan membina Universiti Sains dan Teknologi dan hospital mata di daerah kelahiran Muhammad Yunus.

Gambar: Ekstrak Gambar Kulit Depan Buku ‘Creating a World Without Poverty: Social Business and the Future of Capitalism’

Bank Grameen juga menjadi satu-satunya syarikat korporat yang memenangi Hadiah Nobel dan rekod itu masih belum dapat dipecahkan setakat ini. Professor Ole Danbolt Mjøs, Pengerusi Jawatankuasa Nobel Norway menegaskan objektif pemilihan Bank Grameen dan Muhammad Yunus sebagai pemenang Hadiah Nobel, adalah bagi mendorong tumpuan antarabangsa kepada pencapaian dunia Islam, perspektif wanita dan peperangan melawan kemiskinan.

Sehingga ke hari ini, konsep Bank Grameen masih diguna pakai di banyak negara terutama di negara membangun seperti di rantau Asia Barat, Afrika Utara dan Amerika Selatan. Negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Eropah Barat juga tidak ketinggalan memanfaatkan sistem mikrokredit Bank Grameen kepada golongan sasaran mereka.

Rakan niaga tempatan Bank Grameen berjaya memberi bantuan pinjaman kepada 21 institusi kewangan mikro yang mencecah satu juta pelanggan di lebih 11 negara termasuk Palestin dan Yemen. Maklumat terkini pada 2022 menunjukkan Bank Grameen di Bangladesh mempunyai 40 pejabat zon, 40 pejabat audit, 240 pejabat kawasan dan 2568 pejabat cawangan dengan seramai 21,002 kakitangan. Seramai 10.19 juta peminjam telah dan sedang menerima pelbagai bantuan pinjaman daripada Bank Grameen.

Muhammad Yunus yang lahir pada 28 Jun 1940 merupakan anak ketiga daripada sembilan adik-beradik. Beliau merupakan anak kepada seorang tukang emas dan suri rumah.

Beliau melanjutkan pengajian di Fakulti Ekonomi di Universiti Dhaka pada tahun 1957 dan mendapat ijazah sarjana muda ekonomi pada tahun 1960. Pada tahun 1969, beliau menerima biasiswa Fullbright yang membawa Muhammad Yunus ke Amerika Syarikat.

Beliau menerima PhD dalam bidang ekonomi di Universiti Vanderbilt dan menimba pengalaman mengajar di Universiti Colorado. Setelah tujuh tahun di Amerika Syarikat, Muhammad Yunus pulang ke Bangladesh dan berkhidmat di Universiti Chittagong di mana idea Bank Grameen bermula.

Gambar: nobekprize.org

Muhammad Yunus menjadi pengarah Bank Grameen sehingga tahun 2011 sebelum ditamatkan perkhidmatan atas tuduhan mengkomersilkan pinjaman mikrokredit dan beberapa salah laku lain. Tuduhan ini dilaporkan berpunca daripada konflik politik di antara Muhammad Yunus dengan Presiden Bangladesh, Sheikh Hasina.

Walaupun Muhammad Yunus terpalit dengan beberapa kontroversi di negaranya, beliau meraih banyak penghormatan daripada pelbagai negara asing. Beliau merupakan antara daripada hanya tujuh individu yang memenangi 10 anugerah berprestij dunia.

Sebanyak 50 ijazah doktor kehormat daripada 20 universiti seluruh dunia dan 113 anugerah antarabangsa daripada 26 negara telah diberikan kepada Muhammad Yunus. Pada tahun 2006, kerajaan Bangladesh mengeluarkan setem peringatan bagi mengiktiraf kemenangan Muhammad Yunus meraih Hadiah Keamanan Nobel.

Manakala pada Januari 2008, daerah Houston di Texas, Amerika Syarikat mengumumkan tarikh 14 Januari setiap tahun sebagai ‘Hari Muhammad Yunus’ atas sumbangannya kepada manusia sejagat dalam melawan kemiskinan.

Kisah suka duka penubuhan dan perjalanan Bank Grameen dirakamkan dalam buku autobiografi tulisan Muhammad Yunus yang bertajuk, ‘Banker to the Poor: Micro-Lending and the Battle Against World Poverty’. Muhammad Yunus yang kini berusia 82 tahun masih aktif membuat penyelidikan dan kerja lapangan dalam bidang ekonomi.

Beliau mengendalikan yayasannya iaitu Yunus Social Business yang memfokuskan kepada perniagaan sosial dalam isu kemiskinan dan pemanasan global.

Rujukan :
1. https://grameenbank.org/
2. https://grameenfoundation.org/
3.https://www.nobelprize.org/prizes/peace/2006/yunus/biographical/
4. https://en.wikipedia.org/wiki/Grameen_Bank
5. https://en.wikipedia.org/wiki/Muhammad_Yunus
6. https://en.wikipedia.org/wiki/Banker_to_the_Poor
7. https://www.yunussb.com/

Penulis: Emme Shakur

Sofea

There's always another side to every story