Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Ini Beza 'Plug' Merah & Putih Belakang Katil Hospital Yang Ramai Tak Tahu

Adib Haiqal
Beza 'plug' merah putih hospital
Kredit: Threads @__4nis

Ini Beza 'Plug' Merah & Putih Belakang Katil Hospital Yang Ramai Tak Tahu

Ketika berada di hospital, sama ada menemani ahli keluarga atau mendapatkan rawatan, telefon bimbit menjadi antara peranti yang paling kerap digunakan.

Daripada menghubungi waris, menyemak maklumat penting sehinggalah mengisi masa menunggu, ramai yang bergantung kepada telefon sepanjang berada di fasiliti kesihatan.

Namun, penggunaan yang berpanjangan menyebabkan bateri telefon kadangkala cepat habis.

Apabila perkara itu berlaku, ramai yang akan mencari soket elektrik berhampiran hospital untuk mengecas peranti mereka.

Tapi, perasan atau tidak sewaktu mencari soket di hospital, terdapat soket yang berwarna merah dan ada yang berwarna putih (seperti yang biasa digunakan).

Mungkin ramai yang tertanya-tanya, ada beza ke kedua-dua soket ini? atau sama sahaja dan boleh digunakan?

Itulah persoalan yang bermain di fikiran seorang pengguna Threads, @__4nis, baru-baru ini yang menarik perhatian ramai mengenai penggunaan soket elektrik di hospital.

“Ada yang tahu tak sebab apa kita tak boleh mengecas dekat sini?

Perkongsian itu telah membuka ruang kepada orang ramai untuk lebih memahami bahawa penggunaan soket di hospital bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan secara sembarangan, kerana ia melibatkan aspek keselamatan serta fungsi khas sistem bekalan elektrik di fasiliti kesihatan.

Beza 'Plug' Merah & Putih Di Hospital

Membalas kepada pertanyaan tersebut, seorang pengguna Threads, @dhiaurrahmanandeusoff, turut berkongsi pengalamannya berdasarkan pengetahuan teknikal yang dimilikinya ketika bekerja dalam bidang pendawaian hospital.

Menurutnya, terdapat perbezaan jelas antara soket berwarna merah dan putih yang sering dilihat di fasiliti kesihatan, namun ramai orang tidak menyedari fungsi sebenar di sebaliknya.

“Plug merah (Essential/Emergency Power) disambungkan kepada bekalan elektrik kecemasan hospital.

"Ia akan terus berfungsi walaupun bekalan elektrik utama terputus kerana disokong oleh generator atau sistem UPS.

"Soket ini digunakan khusus untuk peralatan kritikal seperti ventilator, mesin CPAP dan BiPAP, serta sistem sokongan oksigen,” jelasnya.

Dengan kata lain, ia bukan semata-mata soal keupayaan soket untuk menampung kapasiti elektrik, tetapi lebih kepada keutamaan fungsi dan keselamatan di persekitaran hospital yang sangat kritikal.

Tambahnya lagi, soket berwarna putih pula merujuk kepada bekalan elektrik biasa atau normal power.

Apabila berlaku gangguan bekalan elektrik, soket jenis ini tidak akan berfungsi kerana ia tidak disambungkan kepada sistem sokongan kecemasan.

Dalam pada itu, beliau turut menjawab persoalan mengenai keselamatan mengecas telefon di hospital.

Menurutnya, secara asasnya ia bergantung kepada keadaan peranti itu sendiri, termasuk memastikan bateri tidak kembung, tiada kebocoran arus, kabel dan pengecas tidak rosak serta skrin tidak retak.

Bagaimanapun, untuk langkah lebih selamat, beliau mencadangkan penggunaan power bank sebagai alternatif kerana aliran pengecasan adalah lebih stabil dan tidak membebankan soket hospital secara langsung.

Terdapat juga perkongsian pengguna Threads @_n.nnaa yang menjelaskan bahawa soket berwarna merah biasanya disambungkan kepada bekalan UPS atau emergency power di hospital.

Menurutnya, penggunaan pengecas telefon hanya melibatkan penggunaan kuasa yang sangat rendah berbanding peralatan perubatan yang beroperasi di fasiliti kesihatan.

Menurutnya, selagi soket tersebut merupakan soket elektrik biasa dan bukan saluran khas lain seperti outlet gas atau sistem sokongan perubatan tertentu, penggunaan pengecas telefon secara asasnya tidak semestinya akan menyebabkan gangguan atau trip pada sistem elektrik.

“Walau bagaimanapun, kebanyakan hospital tetap melarang atau mengehadkan penggunaannya dalam kalangan pesakit dan pelawat.

"Larangan ini lebih kepada faktor prosedur operasi standard (SOP), aspek keselamatan, serta memastikan soket sentiasa tersedia untuk kegunaan peralatan perubatan apabila diperlukan,” tulisnya.

Selamatkah Menggunakan Soket Putih di Hospital?

Untuk makluman tambahan, turut timbul persoalan sama ada selamat atau tidak untuk menggunakan soket berwarna putih di hospital bagi tujuan mengecas peranti.

Secara asasnya, penggunaan soket putih atau normal power masih dibenarkan untuk pengecasan telefon, selagi peranti dan aksesori pengecas berada dalam keadaan baik serta selamat digunakan.

Ini termasuk memastikan bateri tidak kembung, tiada kebocoran arus, kabel dan pengecas tidak rosak, serta skrin peranti tidak mengalami kerosakan.

Namun begitu, aspek keselamatan tetap perlu diberi perhatian kerana walaupun ia merupakan bekalan elektrik biasa, penggunaan yang tidak berhati-hati boleh meningkatkan risiko kepada peranti dan juga pengguna.

Untuk langkah yang lebih selamat, pengguna juga disarankan untuk mengecas menggunakan power bank terlebih dahulu, sebelum menggunakan power bank tersebut untuk mengecas telefon.

Kaedah ini bukan sahaja lebih praktikal, malah membantu mengurangkan kebergantungan terus kepada soket hospital.

Kredit: Threads @jiha_jia