Siakap Keli
Gambar: ESA/Julien Behal

ESA Umum Atlet Paralimpik UK Sebagai Calon Angkasawan OKU Pertama Di Dunia

Seorang pelari pecut paralimpik British telah dipilih oleh Agensi Angkasa Eropah (ESA) untuk menjalani latihan angkasawan baharu yang pertama dalam tempoh 13 tahun.

Memetik laporan BBC, John McFall yang berumur 41 tahun itu kehilangan kakinya selepas terlibat dalam kemalangan motosikal ketika dia berumur 19 tahun.

Setelah itu, dia mula menceburi bidang sukan dan menjadi atlet profesional sebagai pelari pecut paralimpik di United Kingdom.

Dalam pada itu, ESA memaklumkan bahawa pengumuman yang dibuat belum dapat mengesahkan tempat atlet itu sebagai angkasawan yang bakal dihantar ke angkasa lepas.

Pun begitu, atlet itu tetap perlu menjalani program yang dijalankan bagi melihat potensi dan kelayakan dirinya.

Sementara itu, atlet paralimpik tersebut turut menyatakan rasa bangganya kerana telah diberi peluang untuk menyertai program yang dianggap mencabar itu.

“Apabila ESA mengumumkan bahawa mereka sedang mencari calon kurang upaya untuk menjalankan projek angkasawan ini, saya berasa sangat tertarik setelah melihat kriteria yang diperlukan.

“Ia membuatkan saya berminat untuk memohon program yang ditawarkan.” jelasnya dalam halaman BBC.

Difahamkan juga, ESA akan bekerjasama dengan NASA dalam program yang bakal dijalankan.

Pihaknya perlu memastikan terlebih dahulu bahawa para angkasawan yang bakal dilatih tidak akan menjejaskan keselamatan anak kapal.

Kapal angkasa lepas yang bakal digunakan juga sudah pasti memerlukan sedikit pengubahsuaian.

“Ia merupakan sesuatu yang amat penting untuk kami libatkan semua orang yang mempunyai keterujaan tentang angkasa lepas.

“Kami telah membuat langkah pertama dengan membuka permohonan ini kepada mereka yang mempunyai jenis kecacatan yang tertentu dan kami sangat berharap dapat menghantar mereka dalam misi ke Stesen Angkasa Antarabangsa.” kata Dr David Parker, ketua Agensi Angkasa Eropah dalam sebuah kenyataan.

Sementara itu, Agensi Angkasa Eropah juga telah berjaya memilih 17 calon angkasawan baharu daripada lebih 22,500 permohonan yang diterima.

Kredit: Joel Saget/AFP

Sumber: BBC News

Farah Nabilah