Siakap Keli

Hannah Yeoh Mohon FAM Pertimbang, Turunkan Lagi Harga Tiket Tier Terbuka

Hannah Yeoh Mohon FAM Pertimbang, Turunkan Lagi Harga Tiket Tier Terbuka

24 Disember ini, Malaysia akan menghadapi kempen Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 dan akan bertemu dengan pasukan Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil. Beberapa hari lepas, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengumumkan harga tiket untuk dua perlawanan di Bukit Jalil.

Rata-rata penyokong Harimau Malaya tidak berpuas hati dengan harga tiket yang diumumkan. Untuk tiket terbuka berharga RM50, naik RM20 berbanding harga tiket bagi kejohanan sama dua tahun yang lalu.

Semalam FAM telah mengemas kini harga tiket dan telah berlaku sedikit penurunan. Harga tiket Grandstand turun RM30, tiket Premium turun RM10 dan harga tiket Terbuka turun RM5 seperti di bawah.

Sebahagian besar penyokong tetap tidak berpuas hati dengan kemas kini tersebut kerana majoriti penyokong Malaysia akan membeli tiket Terbuka dan mahukan harga tiket bagi seksyen itu diturunkan sehingga RM30.

Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh dalam satu ciapan terbaharu beliau mengucapkan terima kasih atas usaha FAM mengurangkan harga tiket. Namun, beliau memohon untuk pertimbangkan pengurangan harga tier Terbuka supaya boleh meningkatkan kehadiran penyokong ke stadium.

Dalam keadaan kewangan rakyat yang tidak menentu ini, mungkin peminat rasa sedikit terbeban dengan harga tiket yang diumumkan dan kejohanan ini datang dua kali setahun. Sudah pasti semua peminat mahu memberikan sokongan padu kepada pasukan Harimau Malaya.

Anak buah Kim Pan Gon diundi dalam kumpulan B bersama Laos, Singapura, Myanmar dan cabaran terbesar Vietnam. Malaysia akan bertemu Laos pada 24 Disember dan Singapura pada 3 Januari di Stadium Nasional Bukit Jalil. Kedua-dua perlawanan berlangsung jam 9 malam.

Untuk perlawanan pembukaan Harimau Malaya, mereka akan bertemu Myanmar pada 21 Disember 2022 yang dijadualkan berlangsung di Thuwanna YTC Stadium. Perlawanan menentang Vietnam akan berlangsung pada 27 Disember yang dijadualkan berlangsung di My Dinh Stadium.

Kim Pan Gon akan memuktamadkan barisan terakhir yang akan membawa nama Malaysia ke kejohanan ini selepas perlawanan persahabatan malam ini (14 Disember 2022) menentang Maldives di Stadium Kuala Lumpur, Cheras. Tiket boleh dibeli di www.tickethotline.com

Sumber: Hannah Yeoh

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)