Siakap Keli

Piala AFF: Syihan Muncul Wira, Nafikan Penalti Minit 90 Myanmar, Malaysia Menang 1-0

Skuad kebangsaan, Harimau Malaya bermula dengan langkah kanan apabila berjaya membenam cabaran Myanmar dalam perlawanan pertama kumpulan saingan Piala AFF Mitsubishi 2022.

Malaysia beberapa kali melancarkan serangan berbahaya ke kubu lawan di separuh masa pertama. Peluang-peluang negara hadir melalui gerakan pantas dan cantik pemain di barisan serangan yang diterajui Safawi Rashid serta pemain-pemain seperti Faisal Halim, Ruventhiran dan Darren Lok.

Myanmar juga sekali sekala menghadirkan ancaman kepada gawang negara namun benteng pertahanan yang diketuai Khuzaimi Piee kekal tenang menyerap asakan dan mudah mematahkan serangan lawan. Lawan bagaimanapun nyaris membuka jaringan pada minit ke-18 menerusi serangan balas pantas. Namun begitu, Myanmar gagal memanfaatkan situasi kelam kabut di depan pintu gol dan bola berjaya dikeluarkan.

Malaysia juga terpaksa bertahan dan bermain dengan 10 orang pada minit-minit akhir separuh masa pertama apabila Khuzaimi Piee mengalami kecederaan. Pemain itu sah tidak dapat meneruskan permainan apabila digantikan Fazly Mazlan dalam masa kecederaan separuh masa pertama

Tamat 45 minit pertama, perlawanan berkesudahan tanpa jaringan. Walaupun perlawanan dilihat seimbang, Myanmar dilihat lebih berbahaya dalam babak pertama dan serangan-serangan yang dibuat kelihatan lebih mencemaskan.

Bermula separuh masa kedua, Malaysia membuat pertukaran kedua apabila membawa masuk Lee Tuck bagi menggantikan Darren Lock di barisan serangan.

Lee Tuck terus memberikan impak apabila gerakan cantik bersama Azam Azmi hampir memuahkan gol pertama buat skuad negara pada minit 47. Namun hantaran Azam Azmi ke kawasan gol lawan gagal disambut Safawi Rashid dan berjaya dikeluarkan oleh pertahanan Myanmar.

Gol yang ditunggu-tunggu skuad kebangsaan akhirnya tiba pada minit ke-52 menerusi Faisal Halim hasil bantuan yang dibuat oleh Safawi Rashid. Kemasukan Lee Tuck dan Sergio Aguero ternyata berjaya mengubah corak permainan skuad kebangsaan.

Namun begitu, Myanmar yang dikejutkan dengan gol itu kemudian meningkatkan intensiti perlawanan dan cuba mencari gol penyamaan. Ini dapat disaksikan apabila pemain-pemain penyerang mereka melakukan serangan bertali arus dan terus menenakan barisan pertahanan negara.

Mujurlah, benteng pertahanan negara terus kental bertahan namun satu kesilapan pada minit 90 hampir meragut kemenangan negara.

Disaat-saat genting itu, penjaga gol terbaik Liga Malaysia 2022, Syihan Hazmi muncul sebagai wira apabila berjaya menepis sepakan penalti lawan. Tamat 90 minit ditambah lapan minit masa tambahan, Malaysia berjaya menundukkan Myanmar 1-0.

Secara keseluruhan juga, selain Faisal Halim, Syihan Azmi adalah antara pemain negara yang berjaya menampilkan prestasi terbaik dalam perlawanan ini, termasuk beberapa penyelamatan penting yang memastikan Malaysia bermula dengan langkah kanan dalam kejohanan terbesar bola sepak peringkat Asia Tenggara ini.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.