Siakap Keli
Kredit: EPA

Gaji Tahunan Pegawai Kanan Kerajaan Korea Dibekukan Untuk 2023

Gaji Tahunan Pegawai Kanan Kerajaan Dibekukan Untuk 2023

SEOUL, 3 Jan (Bernama) — Kabinet pada Selasa meluluskan pelan pembekuan gaji tahunan pegawai kanan kerajaan untuk tahun ini sejajar langkah kerajaan mengurangkan perbelanjaan dan menjamin disiplin fiskal, lapor Yonhap memetik Kementerian Pengurusan Kakitangan.

Menerusi pelan itu, gaji tahunan penjawat awam daripada gred 4 dan lebih tinggi akan dibekukan dan 10 peratus daripada gaji mereka akan didermakan, kata pegawai kementerian.

Ini bermakna gaji timbalan pengarah kanan dan pegawai tinggi dibekukan termasuk Presiden Yoon Suk Yeol dan Perdana Menteri Han Duck-soo.

Gaji tahunan Yoon berjumlah kira-kira 245 juta won (AS$192,898) untuk tahun ini.

Bagi penjawat awam gred 5 dan ke bawah, gaji tahunan mereka akan dinaikkan sebanyak 1.7 peratus tahun ini, kata kementerian itu. Dalam sistem sembilan peringkat Korea Selatan, gred 1 adalah yang tertinggi dan gred 9 adalah yang terendah.

Sementara itu, gaji bulanan sarjan Tentera Darat akan dinaikkan kepada 1 juta won tahun ini berbanding 676,000 won tahun lepas.

Gaji bulanan untuk sarjan akan dinaikkan lagi kepada 1.25 juta won tahun depan dan 1.5 juta won pada 2025.

BACA: Untung Naik 226 %, Syarikat Minyak Korea Umum Bonus 120 Bulan Gaji Untuk Pekerjanya

Sumber: Bernama

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma