Siakap Keli
Kredit: Pixabay

Netflix Dilapor Bakal Siarkan Rancangan Anugerah Secara Langsung Buat Pertama Kali

Netflix Dilapor Bakal Siarkan Rancangan Anugerah Secara Langsung Buat Pertama Kali

Syarikat perkhidmatan penstriman video, Netflix dilapor bakal menyiarkan rancangan anugerah secara langsung buat kali pertama sekaligus menandakan perkembangan terbaru syarikat penstriman itu ke dalam program siaran langsung dan mengukuhkan lagi pengaruh di Hollywood.

Memetik laporan CNN, Anugerah Persatuan Pelakon Skrin (SAG) akan disiarkan secara global di Netflix mulai tahun 2024 sebagai sebahagian tanda perkongsian perniagaan yang dijalankan oleh kedua-dua belah pihak selama beberapa tahun.

Bukan itu sahaja, ia juga bakal disiarkan menerusi akaun Netflix di saluran Youtube pada hari Ahad jam 8 malam.

Difahamkan, rancangan anugerah itu sebelum ini disiarkan di saluran televisyen TNT sejak tahun 1998, yang turut dimiliki oleh syarikat induk CNN Warner Bros. Discovery.

Anugerah tersebut bertujuan untuk memberi penghormatan kepada persembahan terbaik dalam filem dan televisyen, malah turut melibatkan undian daripada lebih 120,000 ahli persatuan.

Pun begitu, anugerah tersebut kebiasaannya mempunyai penonton yang lebih sedikit berbanding rancangan anugerah yang lain seperti Oscar dan Golden Globes.

Dalam pada itu, ketua TV global Netflix, Bela Bajaria berkata anugerah SAG itu bakal ditonton lebih ramai peminat di seluruh dunia.

“Anugerah SAG digemari oleh komuniti kreatif dan penonton, kini lebih ramai peminat di seluruh dunia dapat meraikan pelakon berbakat yang bertanding dalam anugerah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, ia bukan rancangan anugerah pertama yang beralih daripada siaran TV tradisional kepada penstriman.

Sebelum ini, Anugerah Akademi Muzik Negara (ACM) telah bertukar daripada CBS kepada Amazon Prime Video pada tahun 2022, malah  dilapor akan menyiarkan siaran langsung sekali lagi pada platform itu tahun ini.

Sementara itu, Netflix turut menambah bahawa siaran langsung yang dilakukan itu boleh membantu Netflix untuk bergerak ke hadapan berbanding saingan yang lain sekaligus menambah pelanggan dalam pasaran yang semakin sengit.

“Seperti yang telah kami katakan sebelum ini, kami beroperasi dalam industri yang sangat kompetitif di mana orang ramai mempunyai banyak pilihan hiburan yang berbeza iaitu daripada TV ke penstriman, Youtube ke TikTok dan permainan video ke sosial media,” kata syarikat itu dalam sebuah laporan.

Bagaimanapun, Netflix setakat ini menolak siaran langsung bagi acara tertentu termasuk acara sukan yang terkenal dengan harga yang lebih mahal untuk diperoleh.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Netflix, Ted Sarandos, sukan menggunakan model ekonomi yang perlu dibayar di mana ia berbeza daripada penstriman.

“Kami bukan anti-sukan, sebaliknya kami mementingkan keuntungan,” tambah pihaknya.

Sumber: CNN

Farah Nabilah