Siakap Keli
Kredit: Pixabay

Solusi Terakhir Masalah Rumah Tangga, Kenali Empat Jenis Penceraian Dalam Perundangan Islam

Solusi Terakhir Masalah Rumah Tangga, Kenali Empat Jenis Penceraian Dalam Perundangan Islam

Setiap pertemuan akan ada perpisahan, itulah adat dalam hubungan manusia. Begitu juga dengan hubungan perkahwinan. Walaupun sudah menjadi impian setiap pasangan agar rumah tangga yang dibina berkekalan sehingga akhir hayat, ada juga yang terpaksa menelan hakikat pahit mahligai dibina atas dasar cinta juga bisa runtuh apabila dihentam badai.

Sememangnya, perpisahan merupakan langkah terakhir yang sehabis mampu mahu dielak oleh setiap pasangan suami isteri yang berdepan masalah. Namun adalakala, itu sahajalah pilihan yang tinggal selepas pelbagai solusi yang diambil untuk merungkai kekusutan tidak menghadirkan jawapan yang diharapkan.

Gambar hiasan | Kredit: Pixabay

Di dalam Islam, isu penceraian mempunyai undang-undang garis panduan tersendiri yang ditetapkan agama.

Menurut Jabatan Guaman Negara, terdapat empat jenis penceraian yang ditetapkan dalam undang-undang Islam iaitu perceraian dengan persetujuan atau atas perintah mahkamah, perceraian taklik, perceraian fasakh dan perceraian tebus talak (khuluk).

Jadi, kali ini kamu mahu berkongsi apakah yang dimaksudkan oleh setiap jenis penceraian di atas. Semoga bermanfaat.

1. Perceraian dengan persetujuan/dengan perintah mahkamah

Perceraian dengan persetujuan atau dengan perintah mahkamah bererti, seorang suami atau isteri membuat permohonan kepada mahkamah dengan mengisi borang-borang tertentu untuk bercerai sekiranya kedua-dua pihak bersetuju untuk berbuat demikian.

Borang tersebut perlu diserahkan kepada mahkamah dengan disertai akuan berkanun (surat sumpah) dengan memenuhi perkara yang berikut:

Gambar hiasan | Kredit: Bernama
i. butir-butir perkahwinan, nama anak, umur anak (hasil daripada perkahwinan)
ii. perkahwinan itu didaftarkan di bawah Enakmen Pentadbiran Undang- Undang Keluarga Islam dan salah satu pihak bermastautin dalam Negeri di bawah Enakmen tersebut;
iii. butir-butir mengenai apa-apa perbicaraan terdahulu mengenai hal ehwal suami isteri, jika ada;
iv. pernyataan mengenai sebab-sebab hendak bercerai;
v. pernyataan sama ada langkah-langkah perdamaian telah diambil;
vi. syarat apa-apa perjanjian berkenaan dengan nafkah, tempat tinggal isteri dan anak- anak hasil daripada perkahwinan, penjagaan anak dan pembahagian apa-apa aset; dan
vii. butir-butir perintah yang diminta.

Borang ini boleh diperolehi di Mahkamah Syariah di tempat yang berhampiran dengan pasangan suami/isteri tinggal atau bermastautin.

2. Perceraian taklik

Maksud cerai taklik ialah lafaz cerai yang dikaitkan dengan suatu janji yang telah dibuat oleh suami selepas akad nikah disempurnakan. Pada lazimnya, taklik tersebut menyebut antara lain –

i. sekiranya suami meninggalkan isteri lebih daripada enam bulan tanpa memberi nafkah zahir atau batin secukupnya; atau
ii. sekiranya suami memukul atau mendera isteri atau mendatangkan mudarat kepada isterinya.

Isteri yang ditinggalkan atau dicederakan seperti di atas boleh mengadu kepada Mahkamah Syariah di kawasan yang berhampiran dengan tempat tinggalnya dan sekiranya pengaduan itu sabit dan disahkan oleh Mahkamah, maka terjadilah perceraian secara taklik.

Perceraian taklik boleh juga berlaku apabila seorang suami membuat janji atau memberi amaran kepada isteri supaya melakukan atau meninggalkan daripada melakukan sesuatu.

Gambar hiasan | Kredit: Bernama

3. Perceraian fasakh

Perceraian fasakh bermakna pembatalan atau pembubaran perkahwinan antara suami isteri melalui perintah Mahkamah. Seseorang isteri boleh membuat permohonan cerai fasakh kepada Mahkamah, antara lain, atas alasan seperti yang berikut, bergantung pada Negeri tempat dia tinggal:

(a) suami telah menghilangkan diri tanpa diketahui di mana berada selama tempoh lebih daripada setahun;
(b) suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan nafkah isteri dan anak-anak selama tempoh 3 bulan;
(c) suami telah dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih;
(d) suami tidak menunaikan nafkah batin tanpa sebab yang munasabah selama tempoh satu tahun;
(e) suami telah mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami telah mati pucuk;
(f) suami telah gila selama tempoh dua tahunatau sedang menghidap penyakit kusta atau vitiligo atau sedang menghidap penyakit kelamin dalam keadaan boleh berjangkit;
(g) isteri telah dikahwinkan oleh bapa atau datuknya sebelum ia mencapai umur enam belas tahun, menolak perkahwinan itu sebelum mencapai umur 18 tahun, dan ia belum disetubuhi oleh suaminya itu;
(h) bahawa suami menganiayanya, iaitu, antara lain –
  • lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya; atau
  • berkawan dengan perempuan-perempuan jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syarak; atau
  • cuba memaksa isteri hidup secara lucah; atau
  • melupuskan harta isteri atau melarang isteri itu menggunakan hak-haknya di sisi undang-undang terhadap harta itu; atau
  • menghalang isteri daripada menunaikan atau menjalankan kewajipan atau amalan agamanya; atau
  • jika dia mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak melayani isteri berkenaan dengan secara adil mengikut kehendak-kehendak Hukum Syarak; atau
  • apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau fasakh di bawah Hukum Syarak. 
Gambar hiasan | Kredit: Bernama

4. Perceraian tebus talak (khuluk)

Perceraian tebus talak atau khuluk ialah suatu perceraian yang diminta oleh isteri daripada suaminya dengan memberi wang atau harta
benda lain kepada suaminya.

Antara sebab yang membolehkan seseorang isteri mendapatkan tebus talak daripada suaminya ialah –

(a) isteri tidak tertahan lagi tinggal dengan suaminya kerana suami berperangai jahat;
(b) suami menyakiti hatinya menyebabkan isteri telah kehilangan kasih sayang terhadap suami;
(c) kerana sebab-sebab lain yang membuat mereka tidak dapat bercampur atau bergaul dengan aman dan harmoni.

Mahkamah mempunyai budi bicara untuk meluluskan permohonan perceraian khuluk walaupun pihak suami tidak memberi persetujuan
sekiranya Mahkamah berpendapat bahawa suami isteri tersebut tidak dapat hidup bersama dengan damai dan selaras dengan kewajipan mereka.

Terdapat pembubaran perkahwinan kerana pertukaran agama

Pertukaran agama oleh salah satu pasangan perkahwinan akan menjadikan perkahwinannya menjadi bubar atas pengesahan Mahkamah.

Walau bagaimanapun, kedudukan suami isteri adalah seperti yang berikut:

(i) sekiranya salah satu pasangan menjadi murtad, perkahwinan hanya menjadi bubar setelah disahkan oleh Mahkamah;
(ii) sekiranya isteri atau suami telah memeluk Islam dan pasangannya telah turut memeluk Islam dalam tempoh idah perkahwinan mereka mengikut hukum Syarak, maka status perkahwinan mereka dikekalkan iaitu mereka tidak perlu kepada akad nikah baru.
Gambar hiasan | Kredit: Bernama
Implikasi penceraian terhadap kedua-dua pihak

Sesuatu perceraian boleh membawa kesan atau akibat seperti yang berikut:

Bagi penceraian secara persetujuan, kedua-dua pihak boleh mengatur mengenai pembahagian perbelanjaan harta, harta sepencarian, penjagaan anak-anak, nafkah dan perkara lain sebagaimana yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Manakala bagi perceraian taklik, fasakh dan tebus talak,  seseorang yang bercerai melalui penceraian ini tidak boleh kembali atau rujuk kepada pernikahannya yang dahulu, melainkan dengan suatu akad nikah yang baru.

Gambar hiasan | Kredit: Pixabay

Akhir sekali, walaupun penceraian adalah dibenarkan dalam Islam, ia dilihat sebagai langkah terakhir bagi pasangan untuk menyelesaikan masalah dalam situasi yang terdesak dan serius.

Hal ini disebabkan, tujuan asal penceraian adalah untuk melindungi pihak yang terlibat dalam perkahwinan daripada menerima penganiayaan dari segi mental dan fizikal secara berterusan.

Jika masalah anda dan pasangan anda hanya disifatkan sebagai tidak serius, cubalah cari kaedah lain dahulu seperti menyertai sesi kaunseling kekeluargaan.

BACA: ”Paling Banyak Derita Di Mahkamah Isteri Yang Suri Rumah” – Peguam Syarie

Sumber: Jabatan Guaman Negara

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma