Siakap Keli
batu hempap kereta
Kredit: CNN | The Mirror

Batu Hempap Kereta Sampai Hancur, Panggilan Telefon ‘Selamatkan’ Nyawa Lelaki

Ajal belum tiba, itulah yang dilabelkan kepada seorang lelaki yang terselamat daripada tanah runtuh apabila dia meninggalkan keretanya untuk menjawab panggilan telefon dalam kejadian yang berlaku di Malibu, California, lapor The Mirror.

Lelaki berkenaan, Mauricio Henao yang berasal dari California mengatakan bahawa dia hampir kehilangan nyawa ekoran kereta miliknya dihempap batu besar.

Tambahnya, dia meninggalkan keretanya untuk menerima panggilan telefon sebelum mendengar bunyi batu yang bergelimpangan di lereng bukit.

“Saya baru sahaja mendengar dentuman kuat.  Saya melihat kereta saya telah remuk. Batu itu sebesar bumbung telah menghempap kereta saya. Cermin depan kereta semua pecah dan hanya tinggal rangka kereta,” jelasnya.

Difahamkan, batu dan serpihan dari lereng bukit itu melayang dan ‘mendarat’ sebelum ‘melintas’ di empat lorong lalu lintas hingga beberapa kenderaan dilaporkan rosak.

Panggilan Telefon Selamatkan Nyawa Lelaki
Kredit: CNN

Malah lebih mengejutkan, tiada kecederaan yang dilaporkan akibat tragedi tanah runtuh itu.

Bukan hanya itu, Maurucio berkata dia sangat terkejut dengan pengalaman yang hampir menyebabkan kehilangan nyawanya dan bersyukur dengan panggilan telefon yang dikatakan sebagai penyelamatnya.

“Sejujurnya, saya tidak terfikir saya akan memarkir kereta di sini (lokasi kejadian) selepas ini. Saya agak trauma dengan pengalaman pahit yang dialami ini,” jelasnya.

Sementara itu penduduk kampung tempatan di lokasi kejadian, Nick Kennedy turut menyatakan bahawa keretanya rosak akibat dilanggar batu besar yang bergolek dari seberang jalan.

“Saya agak gembira kerana kereta saya ada di sana. Saya tidak tahu sama ada (batu-batu) itu akan melalui dinding rumah kerana saya duduk betul-betul di tepi dinding tersebut,” katanya.

Menurut The Mirror, runtuhan tanah itu berlaku berikutan ribut melanda California pada awal minggu ini yang telah menumbangkan pokok serta menyebabkan beberapa kawasan ditenggelami air terutamanya jalan raya.

Tambah The Mirror, lebih 25 juta orang di seluruh California menghadapi amaran banjir hujung minggu ini rentetan cuaca tidak menentu sekitar pantai tengah termasuklah Lembah Sacramento dan San Joaquin.

Sumber: The Mirror

Florence Nuar