Siakap Keli
erik ten hag
Gambar: AFP

‘Walau Tanpa Casemiro, Kami Dah Ada Cara Nak Kalahkan Arsenal’ – Erik Ten Hag

Pengurus Manchester United, Erik ten Hag yakin bahawa beliau sudah ada ‘ramuan’ tersendiri bagaimana untuk menewaskan gergasi London, Arsenal walaupun tanpa kelibat penggempur tengah berbisanya, Casemiro.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai Casemiro yang dikenakan tindakan digantung perlawanan selepas mengumpul kad kuning kelimanya dalam pertemuan United menentang Crystal Palace awal pagi tadi.

“Dia pemain yang sangat penting untuk kami dan dia adalah salah satu sebab kami berada di kedudukan sekarang.

“Tetapi, kami mempunyai skuad dan kami perlu mengisi jurang itu dengan membuat perancangan yang betul. Kami sudah ada cara untuk menewaskan Arsenal,” katanya.

Imbas kembali pertemuan menentang Arsenal pada September tahun lepas, United mampu menewaskan The Gunners dengan kemenangan selesa 3-1 walaupun tanpa kelibat Casemiro ketika itu.

Berdasarkan rekod semasa, United satu-satunya pasukan yang berjaya meranapkan rekod tanpa kalah Arsenal dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Justeru pada perlawanan seterusnya, Erik yakin bahawa pasukannya akan mengulang kembali sejarah itu untuk menumpaskan skuad kendalian Arteta di laman sendiri.

Seri dengan Crystal Palace, jadikan pengajaran

erik ten hag
Kredit: ESPN

Imbas kembali perlawanan awal pagi tadi, kelekaan United ketika bertemu Crystal Palace hingga mendapat keputusan seri 1-1  adalah sesuatu yang perlu dijadikan pengajaran.

Erik berkata demikian selepas melihat skuad kendaliannya terpaksa berkongsi keputusan dengan pasukan lawan setelah gagal mendapatkan jaringan kedua pada separuh masa kedua.

Malah difahamkan Erik turut mengakui bahawa Red Devils sudah terlepas peluang untuk memberi tekanan kepada pendahulu liga, Arsenal apabila mereka buntu mencari rentak kemenangan untuk perlawanan tersebut.

“Ia mengecewakan dan kami terlepas satu gol penting. Kami terpaksa pergi (mencari) gol kedua.

“Kami fikir kami (mampu) mengawal perlawanan tetapi dalam bola sepak, satu saat boleh mengubah segala-galanya dan itu adalah sesuatu yang kami pelajari,” katanya kepada media usai perlawanan, memetik The Guardian.

Dalam pada itu, Erik berkata United perlu bersikap ‘lebih kejam’ selepas ini, gara-gara sudah terlepas peluang untuk memintas seterunya, Manchester City yang kini menduduki tangga kedua dalam carta EPL.

Sementara itu, pengurus Crystal Palace, Patrick Vieira mendapat pujian penuh selepas pasukannya mampu mengekalkan rekod tanpa kalah dalam empat perlawanan berturut-turut di laman sendiri.

“Adalah penting untuk tidak kalah lagi. Kami kekal dalam permainan selama mungkin dan diberi ganjaran. Prestasi Micheal semakin meningkat sepanjang masa dan menunjukkan kebolehannya yang hebat,” katanya.

Imbas kembali perlawanan awal pagi tadi, United mendahului perlawanan menerusi jaringan kapten Bruno Fernandez pada minit ke-43.

Bagaimanapun hasrat United untuk menang gagal apabila tendangan padu Micheal Olise tepat menembusi gawang gol De Gea menerusi sepakan percuma pada masa kecederaan.

Keputusan seri 1-1 kekal sehingga ke wisel penamat, sekali gus meranapkan impian United untuk membawa pulang tiga mata ke Old Trafford bagi memintas City.

Untuk rekod, United kini sekadar kekal berada di tangga ketiga carta dengan berkongsi 39 mata yang sama dengan City dan berbeza angka jumlah jaringan.

Bagi saingan EPL seterusnya, United dijadualkan akan bertandang ke Emirates untuk menentang Arsenal pada Isnin ini.

Sumber: Sky Sports / The Guardian

Florence Nuar