Siakap Keli
Maksud Tema Merah tahun baharu cina
Kredit: Pixabay, Unsplash, Yahoo News

Maksud Tema Merah & Simbolik Buah Limau Mandarin Ketika Tahun Baharu Cina

Mungkin ramai yang tertanya-tanya apakah maksud warna tema merah yang diguna pakai ketika setiap kali sambutan Tahun Baharu Cina.

Macam baru sahaja sambutan ambang tahun baharu melabuhkan tirainya, kini kita dibawa pula dengan sambutan perayaan bagi masyarakat Cina iaitu Tahun Baharu Cina (CNY) yang jatuh pada hari Ahad ini, 22 Januari 2023.

Pejam celik pejam celik, kini banyak tanglung yang sudah mula digantung di rumah, pasar raya, tempat kerja atau di mana-mana sahaja malah banyak barang yang berkonsepkan  CNY telah dijual di mana-mana tempat.

Tengok dari jauh pun kita kenal tanglung yang digantung, hal ini kerana penggunaan warna merahnya sangat menyerlah, lagi-lagi kalau rumah atau bangunan yang hanya dicat minimalis dengan warna putih.

Sebenarnya ada warna lain yang digunakan semasa perayaan tetapi kaum ini lebih cenderung untuk menggunakan ‘warna merah’ termasuklah baju, langsir, angpau atau sebagainya. Tetapi pernahkah anda terfikir apa maksud warna merah bagi masyarakat Cina?

Jadi, dalam perkongsian kali ini anda akan didedahkan dengan maksud warna merah itu kepada orang Cina. Malah bukan itu sahaja, perkongsian ini turut akan mengupas mengapa buah limau mandarin dijadikan hidangan wajib semasa sambutan CNY.

Maksud Tema Merah
Kredit: Unsplash

Mengapa masyarakat Cina menggunakan warna merah semasa sambutan Tahun Baharu Cina?

Dalam masyarakat Cina, ada tiga warna yang dianggap bertuah mengikut tradisi iaitu merah, kuning dan hijau. Warna-warna ini berasal dari Teori Lima Unsur Cina yang menggambarkan warna merah mewakili api, kuning menandakan bumi, hijau atau biru mewakili kayu, putih melambangkan logan dan hitam menunjukkan air.

Umum ketahui, penggunaan warna sangat penting dalam masyarakat Cina kerana menitikberatkan aspek idea yang telah dibentuk beribu-ribu tahun dahulu.

Menurut Yahoo News, warna merah adalah warna tradisional kaum Han iaitu kumpulan etnik dominan di China yang melambangkan nasib baik, kegembiraan, kecergasan, kesuburan dan kebahagiaan.

Tambahnya lagi, orang Cina akan menganggap merah sebagai warna bertuah sehingga menjadikannya sebagai warna utama semasa perayaan CNY, tidak kiralah daripada aspek pakaian, perhiasan rumah, ‘angpau’ atau apa apa yang boleh digandingkan dengan warna merah.

Justeru, semua orang (yang menyambut) ingin memasuki tahun baharu dengan perkara-perkara yang baik yang diwakili dengan warna merah kerana ia dipercayai membawa banyak nasib yang baik.

Bukan sahaja untuk perayaan, malah masyarakat Cina juga difahamkan turut menggunakan simbolik warna merah semasa majlis penting misalnya majlis perkahwinan.

Maksud Tema Merah
Kredit: Bridges Chinese Network

Beralih kepada perhiasan di depan pintu rumah masyarakat Cina, sekiranya anda pernah menziarahi rumah mereka semasa perayaan ini atau bila-bila sahaja, anda akan perasan satu kaligrafi besar yang ditulis di atas atau di sisi pintu masuk utama rumah.

Memetik Dewan Budaya, hiasan kaligrafi yang ditulis pada kertas berwarna merah di pintu rumah tersebut adalah seolah-olah dipercayai memberikan kuasa sakti bagi menakut-nakutkan ‘raksasa ganas’, bernama Nian (menurut kefahaman mereka).

Justeru, menurut masyarakat Cina, hiasan tersebut dikatakan akan dapat menghalau unsur jahat daripada memusnahkan keharmonian isi rumah.

Jadi, selain mampu melindungi, tidak hairanlah jika masyarakat Cina begitu tekal menggunakan warna merah yang melambangkan keceriaan dan kemeriahan suasana.

Bercakap mengenai warna merah, kanak-kanak juga suka akan tradisi pemberian ‘Lai See’ atau sampul merah (angpau) yang diisi dengan wang tunai atau syiling.

Angpau ini akan diberikan oleh golongan yang sudah mendirikan rumah tangga kepada kanak-kanak, orang bujang atau pekerja yang dipercayai bertujuan mendoakan kesejahteraan hidup mereka pada tahun yang akan datang.

Bagaimanapun, anda perlu pastikan jumlah wang yang diberikan adalah berangka genap kerana jumlah ganjil hanya untuk hari pengebumian.

Maksud Tema Merah
Kredit: Pixabay

Sementara itu, pakaian berwarna merah yang dipakai sepanjang sambutan CNY pula dianggap mampu menghalau roh jahat dan melambangkan kemakmuran. Menariknya, orang ramai akan berpakaian serba merah dari kepala hingga kaki ketika tahun baharu bermula.

Maksud Tema Merah
Kredit: Courtesy Angela Roma/ Pexels via Yahoo News

Buah limau Mandarin menjadi makanan simbolik sambutan CNY?

Menjelang sahaja CNY, pasti ada yang menerima limau Mandarin atau Lokam (di Malaysia) daripada kenalan, rakan sekerja atau jiran tetangga. Hal ini kerana buah limau sudah menjadi tradisi masyarakat Cina di seluruh dunia dan dikatakan membawa nasib baik kepada semua orang.

Menurut History, buah sitrus atau limau Mandarin akan diletakkan di meja semasa Tahun Baharu kerana ia melambangkan kekayaan, nasib dan status. Hal ini kerana perkataan Mandarin itu sendiri mampu menggambarkan  keadaan yang sama seperti ’emas dan limau’ serta ‘tangerin dan tuah’.

Mengulas lebih lagi, limau Mandarin dipanggil ‘kum’ yang bermaksud emas (金) dalam bahasa Cina manakala, limau sitrus seperti calamondin, tangerin dan kumquat dikenali dengan gelaran ‘kat’  (吉) yang bermaksud bertuah.

simbolik limau mandarin
Kredit: Pixabay

Sebab itulah, limau Mandarin dijadikan simbolik perayaan ini ekoran daripada kepercayaan mereka yang menitikberatkan maksud di sebalik buah itu sendiri.

Jadi, dalam kesempatan ini, diucapkan juga selamat menyambut Tahun Baharu Cina kepada golongan yang meraikannya tidak lama lagi.

Sumber: Yahoo News, Cxomedia, History, Dewan Budaya

Florence Nuar