Siakap Keli
Jadi Perhatian Ketika Tahun Baharu Cina
Gambar: China Highlights

Jadi Perhatian Ketika Tahun Baharu Cina, Ini Beza Tarian Naga & Tarian Singa Yang Ramai Tak Tahu 

Jadi Perhatian Ketika Tahun Baharu Cina, Ini Beza Tarian Naga & Tarian Singa Yang Ramai Tak Tahu

Setiap kaum atau bangsa mempunyai adat dan perayaan masing-masing. Ia merupakan warisan sejak dari zaman terdahulu.

Lebih-lebih lagi, Malaysia yang terkenal dengan rakyatnya yang berbilang kaum. Antara kaum yang terdapat di negara ini termasuk kaum Melayu, India dan juga Cina.

Setiap kaum mempunyai perayaan yang tersendiri misalnya kaum Melayu menyambut Hari Raya Aidilfitri manakala kaum India pula menyambut Deepavali serta kaum Cina merayakan Tahun Baharu Cina.

Dalam tempoh beberapa hari lagi, kaum Cina bakal menyambut Perayaan Tahun Baru Cina.

Umumnya, sambutan ini terkenal dengan pemakaian Cheongsam, pemberian ‘Angpau’ dan persembahan ‘Tarian Naga’ serta ‘Tarian Singa’. Kedua-dua tarian ini sering dipersembahkan dalam perayaan Tahun Baru Cina  dan majlis-majlis tertentu.

Namun, tahukah anda sebenarnya tarian naga dan singa mempunyai perbezaan? Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mari kita ikuti perkongsian di bawah.

Perbezaan Tarian Naga & Tarian Singa

Mungkin ramai di luar sana yang beranggapan bahawa tarian naga dan singa merupakan satu tarian yang sama namun sebenarnya tidak. Kedua-dua tarian ini adalah berbeza dan mempunyai kisah yang tersendiri disebaliknya.

Tarian Naga

Gambar: China Highlights

Untuk pengetahuan, Tarian Naga menjadi satu unsur penting dalam perayaan Cina sejak zaman purba lagi. Tarian ini telah dibawa masuk ke seluruh pelusuk dunia seiring penyebaran budaya dan menjadi simbol kepada budaya masyarakat Cina.

Simbol & Maksud Tarian Naga

Bagi masyarakat Cina, Naga merupakan satu simbol dan menjadi unsur penting dalam budayanya. Hal ini kerana ‘Naga Cina’ melambangkan kebijaksanaan, kekuasaan, kekayaan dan dipercayai membawa tuah.

Menurut kepercayaan Cina, hujan tidak turun dalam tempoh yang lama pada suatu ketika dahulu sehingga masyarakat mempersembahkan tarian naga agar turunnya hujan.

Bukan sahaja bagi memohon hujan turun malah ia juga merupakan salah satu cara untuk berdoa agar mengelakkan serangan serangga pada tanaman.

BACA JUGA: Makan Tengahari Tahun Baru Cina Di Oakwood Hotel Kuala Lumpur

Sehingga kini, tarian naga dipersembahkan pada majlis-majlis perayaan sebagai cara untuk mengusir roh-roh jahat dan memohon kemakmuran.

Kebiasaanya, tarian naga dipersembahkan dengan pelbagai cara dari segi kostum naga yang berbeza warna. Antara warna yang digunakan pada kostum naga adalah merah, kuning, emas atau perak dan hijau.

Setiap warna mempunyai maksud yang berbeza. Bagi warna merah, ia digunakan untuk membawa kegembiraan dan nasib yang baik. Selain itu, warna kuning pula menjadi simbolik kepada penghormatan empayar.

Manakala warna emas atau perak pula melambangkan unsur kemakmuran dan warna hijau melambangkan hasil tuaian yang lumayan. Untuk penari naga, mereka kebiasaannya memakai seluar yang sesuai dengan warna badan naga.

Kostum Tarian Naga 

Gambar: China Highlights

Umumnya, kostum ini terdiri daripada kepala naga, badan dan juga ekor yang diangkat menggunakan tiang. Panjang naga juga adalah berbeza, bermula dari 2 meter hingga ribuan meter.

Untuk rekod, kostum naga terpanjang pernah dicatatkan di Hong Kong pada tahun 2012 dengan 5,605 meter panjang. Dipercayai semakin panjang naga itu, semakin banyak tuah yang dibawanya.

Tambahan lagi, bilangan sendi naga mestilah dibuat dengan bilangan yang ganjil seperti 9, 11, 13, 29 sendi atau lebih banyak lagi kerana dianggap membawa tuah.

Bahan yang digunakan dalam pembuatan kostum tarian naga adalah seperti rumput, kertas, buluh, dan kain. Badan naga akan dijahit atau ditenun dalam bentuk bulat sebelum ditutup dengan kain merah besar (dihiasi sisik naga).

Bagaimana Tarian Naga Dipersembahkan

Jadi Perhatian Ketika Tahun Baharu Cina
Gambar: China Highlights

Kebiasaannya, kostum naga akan disimpan di kuil tempatan dan hanya dibawa keluar pada hari persembahan. Pada hari itu, orang tempatan akan mengiringinya sambil memegang bendera, sepanduk dan memainkan gendang.

Selain itu, seseorang yang memegang sebatang kayu bersama bola (Mutiara Kebijaksanaan) akan memimpin pergerakan tarian. Bola tersebut akan digerakkan ke kiri, kanan, depan dan juga ke belakang sementara naga akan mengikutinya.

Tarian ini melambangkan seekor naga yang mengejarkan kebijaksanaan sambil menampilkan gerakan secara bergelombang.

Koreografi tarian naga ini juga berbeza-beza mengikut kemahiran penghibur. Jenis pergerakan yang sering digunakan adalah ‘gua awan’, ‘pusaran air’, ‘corak tai chi’, ‘menarik wang’ (threading money), ‘mencari mutiara’ dan juga ‘naga mengelilingi tiang’.

Selepas tarian selesai, bahagian kepala dan ekor naga akan dibakar manakala bahagian badan pula akan disimpan di kuil untuk digunakan pada tahun berikutnya.

Gambar: China Highlights

Jenis Tarian Naga

Untuk pengetahuan, tarian naga mempunyai dua jenis, Tarian Naga Selatan dan Tarian Naga Utara.

Bagi Tarian Naga Selatan, ia berasal dari kawasan selatan Sungai Yangtze. Struktur badan naga yang digunakan dalam tarian ini juga lebih berat dan berhias berbanding Tarian Naga Utara.

Tarian ini lebih menfokuskan momentum, kekuatan dan penampilan yang hebat. Oleh itu, ia tidak memaparkan aspek pergerakan yang tangkas.

BACA JUGA: Bukan Hiasan Semata, Ini Kaitan Tanglung Dan Tahun Baru Cina

Kebiasaanya, hanya 10 orang diperlukan untuk membawa naga selatan. Bahan yang digunakan juga berasal dari bulu dan kertas manakala bahagian kulit badan pula diperbuat daripada kain yang dilukis sisik naga.

Tarian Naga Utara

Bagi Tarian Naga Utara, ia berasal dari utara Sungai Yangtze.

Dari segi penampilan, badan dan kepala naga utara lebih kecil berbanding naga selatan. Tambahan lagi, ia diperbuat dari serat kertas atau tumbuhan yang menjadikannya lebih ringan.

Tarian ini sering dipersembahkan dalam suasana yang gelap kerana dihiasi dengan cahaya pendarfluor. Berbeza dengan naga selatan yang mempamerkan kekuatan dan kehebatan, naga utara menekankan fleksibiliti dalam gerakan tarian.

Di samping itu, Tarian Naga Utara lebih popular di seluruh dunia. Terdapat pelbagai pertandingan dan persembahan yang sering diadakan di China, Hong Kong, Malaysia dan Singapura.

Asal Usul & Lagenda Tarian Naga

Jadi Perhatian Ketika Tahun Baharu Cina
Gambar: China Highlights

Menurut kepercayaan Cina, tarian ini telah wujud sejak Dinasti Han (206 SM-220 AD). Ia digunakan untuk proses pemujaan hujan oleh nenek moyang terdahulu sebelum beransur-ansur menjadi sebuah tarian hiburan seiring peredaran waktu.

Menjelang Dinasti Tang (618-907) dan Dinasti Song (960-1279), tarian naga menjadi satu upacara dalam perayaan Tahun Baharu Cina.

Sementara itu, menurut lagenda pada suatu ketika dahulu di sebuah kampung bernama Lotus. Terdapat sebuah kolam yang dilitupi bunga teratai. Seorang wanita yang mendiami tepi kolam itu dipercayai telah mengandung selama 999 hari sebelum melahirkan seorang bayi lelaki.

Walau bagaimanapun, bagi lelaki yang dilahirkan itu agak berbeza kerana mempunyai sisik naga yang berkilau dan mempersonakan pada bahagian dadanya.

BACA JUGA: “Saya Tengok Pun Letih, Sebab Itu…” Wanita Ini Jelaskan Kenapa Bangsa Cina Ada Dua Nama

Berita tersebut telah diketahui oleh ketua kampung sehingga membuatkan wanita itu menyembunyikan anaknya di dalam sebuah bekas besen di dalam kolam teratai agar tidak dibunuh.

Bagaimanapun, bayi tersebut berjaya dibunuh. Ajaibnya, kanak-kanak terbabit dalam sekelip mata bertukar menjadi seekor naga emas.

Sewaktu kejadian, angin bertiup kencang dan awan amat gelap. Naga tersebut semakin lama semakin membesar sehingga mempunyai panjang puluhan kaki.

Sejak dari itu, setiap kali berlaku kemarau di kampung, naga tersebut dipercayai datang untuk memberi hujan. Bagi menyatakan rasa syukur, penduduk tempatan menggunakan 999 kelopak teratai untuk membuat bunga naga dan mempersembahkan tarian naga setiap kali Perayaan Tahun Baharu Cina (Perayaan Musim Bunga).

Tarian Singa

Gambar: China Highlights

Beralih kepada tarian singa, tarian ini merupakan tarian tradisional kaum Cina. Kebiasaannya, ia dipersembahkan dalam majlis-majlis formal atau keramaian seperti Tahun Baharu Cina bagi membawa nasib yang baik atau menghalau unsur jahat.

Bagi masyarakat Cina, singa dianggap sebagai haiwan yang bertuah. Hal ini kerana ia melambangkan kekuasaan, kebijaksanaan dan ketangkasan.

Tarian ini adalah salah satu tradisi terpenting pada Tahun Baharu Cina. Ia dilakukan untuk membawa kemakmuran dan tuah untuk tahun mendatang.

Selain itu, tarian singa juga berperanan mewujudkan suasana gembira sewaktu perayaan.

Kostum Tarian Singa

Jadi Perhatian Ketika Tahun Baharu Cina
Gambar: China Highlights

Tidak seperti tarian naga yang mempunyai bilangan orang yang ramai. Tarian singa hanya memerlukan dua orang penari sewaktu memakai kostum.

Penari di hadapan berperanan untuk mengawal pada bahagian kepala dan kaki hadapan manakala penari belakang pula mengawal kaki belakang. Kedua-dua mereka mengenakan warna pakaian yang sama dengan badan singa serta kasut yang berbentuk warna cakar singa.

Umumnya, kepala singa sangat besar dan hampir menyerupai kepala naga. Sewaktu tarian singa dipersembahkan, ia diiringi dengan alunan muzik gendang, simbal dan gong.

Tarian ini akan memaparkan ketangkasan seni mempertahankan diri bergantung pada gaya.

Gaya Tarian Singa 

Tarian singa difahamkan terbahagi kepada dua jenis, Tarian Singa Selatan dan Tarian Singa Utara. Kedua-dua tarian ini menggunakan kostum yang sama.

Tarian Singa Selatan

Untuk Tarian Singa Selatan, ia berasal dari Guangdong dan popular di Hong Kong, Macau dan kawasan perkampungan Cina di luar negara.

Apa yang membezakan tarian Singa Selatan ini adalah persembahannya berdasarkan tingkah laku singa dengan menfokuskan sifat seperti menggaru, menggoncang dan menjilat bulu.

Persembahan tarian ini lebih kepada hiburan malah sesetengah penari persembahan mahir dalam bermain bola termasuk menelannya. Ia sering dipertontonkan sewaktu malam Persembahan Tahun Baharu Cina.

Tarian Singa Utara

Dalam Tarian Singa Utara, penari di hadapan (memegang kepala) sering melompat agar kelihatan seperti singa berdiri. Tarian ini lebih kepada gimnastik kerana melibatkan aksi seperti melompat, memanjat atau bersujud.

Sejarah Tarian Singa

Jadi Perhatian Ketika Tahun Baharu Cina
Gambar: China Highlights

Menurut kepercayaan orang Cina, latar belakang tarian singa ini dipercayai berasal secara meluas.

Dalam budaya tradisonal Cina, singa diibaratkan seperti naga Cina yang wujud dalam mitos kerana tiada singa asli di China. Sebelum Dinasti Han (202 SM-22- AD), hanya beberapa ekor singa telah menjejakkan kaki ke dataran tengah dari kawasan barat China purba (Xianjiang).

Oleh itu, orang tempatan meniru penampilan dan tindakan singa dalam persembahan sehingga berkembang menjadi tarian singa sewaktu tempoh tiga kerajaan dari (220–280) sebelum menjadi popular sewaktu kebangkitan empayar Buddha di Dinasti Utara dan Selatan (420–589).

Sewaktu Dinasti Tang (618–907), tarian singa merupakan salah satu tarian istana. Ia semakin mendapat perhatian dalam kalangan orang ramai dalam memohon nasib yang baik (tuah) sewaktu Perayaan Tahun Baharu Cina atau perayaan lain.

Sehingga kini, tarian singa telah tersebar secara meluas di seluruh pelusuk dunia. Penubuhan kelab tarian singa, selain persembahan pada majlis keramaian dan perayaan Tahun Baharu Cina merupakan bukti kukuh penyebaran tarian ini secara meluas.

Sumber: China Highlights (Tarian Naga),  China Highlights (Tarian Singa)

Muhd Iqbal