Siakap Keli

Beberapa Amalan yang Dirasakan Selamat, Tapi Bahaya Bila Dibuat Ketika Banjir

Biarpun saban tahun negara berdepan dengan musibah musim banjir, masih ramai daripada kita yang tidak peka ataupun mengabaikan aspek keselamatan elektrik ketika rumah dilanda banjir.

Seperti yang kita semua sedia maklum, tenaga elektrik banyak manfaatnya dan menjadikan hidup manusia lebih mudah, namun sekiranya cuai atau tersilap langkah ketika mengendalikan elektrik, kita berisiko mengalami kecederaan mahupun kehilangan nyawa.

Jadi, apakah tindakan wajar yang kita semua, khususnya mangsa banjir, boleh ambil supaya tragedi banjir yang menimpa tidak bertukar menjadi lebih malang?

Memandangkan elektrik boleh mengalir melalui air dan menyebabkan renjatan elektrik, jadi ikutilah tips keselamatan elektrik ini yang dibahagikan kepada tiga (3) fasa kejadian banjir iaitu Tips Keselamatan Sebelum, Semasa dan Selepas Banjir.

Setiap tips adalah penting dan saling berkaitan antara satu sama lain, jadi anda tidak boleh mengabaikan mana-mana tips bagi setiap fasa kejadian banjir ini.

Sebelum Banjir

Kebiasaannya, ketika musim banjir dan sekiranya anda pula menjadi mangsa banjir, anda akan dipindahkan ke kawasan penempatan sementara yang lebih selamat.

Justeru, dalam tempoh ini, kediaman masing-masing akan ditinggalkan tanpa sebarang pemantauan oleh sesiapa pun.

Oleh itu, beberapa tips di bawah perlu diambil sebelum anda meninggalkan kediaman
iaitu:

1. Sebelum berpindah, matikan / “OFF” bekalan masuk utama di papan agihan.

2. Pastikan semua suis peralatan berada di dalam keadaan “OFF” dan tanggalkan palam kuasa peralatan elektrik dari soket.

3. Seberapa boleh, pindahkan peralatan elektrik dan soket sambungan ke tempat yang lebih tinggi.

4. Sekiranya rumah anda dipasang dengan pintu pagar elektrik atau solar panel, asingkan punca bekalan tersebut sebelum berpindah.

Semasa Banjir

Perkara utama yang perlu anda ingat adalah elektrik boleh mengalir melalui air sekiranya berlaku kebocoran arus elektrik pada mana-mana sumber elektrik dan ia boleh menyebabkan kecederaan yang parah malah boleh membawa maut.

Untuk tips keselamatan elektrik semasa banjir berlaku, ia boleh dibahagikan kepada dua (2) bahagian iaitu:

Di Luar Rumah

1. Jangan hampiri, berenang atau meredah air banjir di kawasan pencawang elektrik, bilik suis dan termasuklah berhampiran tiang lampu isyarat, tiang elektrik yang tumbang/patah atau talian elektrik putus/jatuh ke tanah kerana kawasan tersebut berisiko tinggi untuk berlaku renjatan elektrik.

2. Bagi talian elektrik yang putus atau jatuh ke tanah, anda diingatkan supaya:

  • Jangan alih talian elektrik,
  • Jangan cuba baiki,
  • Jangan uji sama ada talian elektrik yang putus itu masih berfungsi atau tidak,
  • Elakkan dari memijak lopak berdekatan dengan kawasan talian elektrik, dan
  • Jangan memandu kenderaan di atas talian elektrik yang jatuh.

Apa yang perlu anda buat apabila berdepan dengan situasi ini adalah segera melaporkan kerosakan tersebut kepada pihak utiliti iaitu Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi kawasan Semenanjung atau Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) bagi kawasan Sabah, untuk tindakan pembaikan atau penutupan bekalan elektrik bagi mengelakkan sebarang risiko kemalangan elektrik.

Di Dalam Rumah

Sekiranya anda terperangkap di dalam rumah ketika banjir dan belum berpindah ke tempat perlindungan, langkah-langkah keselamatan di bawah perlu diberi perhatian sebaik mungkin iaitu:

1. Jangan petik suis dengan tangan yang basah.

2. Jangan sentuh peralatan atau kabel elektrik yang terendam dalam air banjir walaupun ianya bersalut dengan penebat.

3. Jangan hidupkan peralatan elektrik sekiranya palam atau soket berada dalam keadaan basah.

4. Jangan petik suis semasa berdiri dalam air atau lantai yang berada dalam keadaan basah.

5. Jika air banjir memasuki rumah anda, jangan masuk ke dalam bilik yang terdapat peralatan elektrik yang belum dicabut dari soket atau suisnya masih berada dalam posisi “ON”. Elakkan menghampiri bilik yang terdapat percikan api keluar dari mana-mana peralatan/pendawaian.

Selepas Banjir

Apabila air banjir telah surut, anda akan kembali ke rumah masing-masing untuk melakukan kerja-kerja pembersihan. Walaupun tiada lagi ancaman banjir, ini tidak bermakna tiada lagi bahaya elektrik jika tidak berhati-hati.

Beberapa komponen elektrik seperti palam yang terendam di dalam air berkemungkinan boleh mendatangkan bahaya pada bila-bila masa. Justeru, berikut adalah beberapa langkah penting yang anda perlu buat.

1. Rujuk pihak utiliti iaitu TNB (di Semenanjung) atau SESB (di Sabah) untuk mengetahui status penyambungan bekalan elektrik.

2. Sekiranya bekalan masih belum disambung, pastikan suis utama di papan agihan ditutup sebelum membersihkan peralatan elektrik atau pendawaian rumah, untuk mengelakkan renjatan apabila pihak utiliti menyambung semula bekalan.

3. Sekiranya merasa ragu tentang keselamatan kelengkapan elektrik yang terendam, hantar untuk pemeriksaan oleh orang yang berkemahiran.

4. Sebelum menghidupkan semula suis utama pada papan agihan, pastikan pendawaian dan pembumian di rumah diperiksa, dibaiki dan diuji oleh kontraktor elektrik yang berdaftar dengan ST untuk disahkan selamat.

Tragedi Kemalangan Lalu Jadikan Peringatan

Peristiwa menyayat hati pernah berlaku sebelum ini yang melibatkan kehilangan nyawa dan ia adalah tragedi yang boleh dielakkan jika kita menitikberatkan soal keselamatan elektrik ketika bencana banjir melanda.

Antara kejadian-kejadian yang pernah berlaku termasuk kes yang melibatkan kebocoran arus pada tiang, talian putus dan jatuh, talian atas ditimpa pokok, talian tumbang ditimpa pokok dan lain-lain lagi.

Contoh kes-kes kemalangan termasuklah kes yang berlaku di Pahang pada tahun lepas di mana seorang lelaki maut terkena renjatan elektrik ketika mangsa cuba untuk mengalihkan kerusi yang diletakkan berhampiran tiang besi sokongan bagi bumbung zink yang digunakan sebagai teduhan dan tempat meletak kereta di rumah. Semasa kejadian, paras air banjir di lokasi setinggi 0.3 meter (1 kaki).

Ibu mangsa yang cuba menyelamatkan mangsa turut cedera terkena renjatan elektrik. Didapati wayar servis utiliti telah luka akibat bergeser dengan tepian atap zink dan tersepit dengan struktur kerangka besi bumbung berkenaan sehingga bahagian penebat wayar servis luka dan logam pengalir wayar tersebut telah bersentuhan dengan atap zink dan struktur binaan bumbung menyebabkan arus elektrik yang bocor telah mengalir ke atap zink, struktur bumbung dan seterusnya ke tiang di mana mangsa terkena kejutan elektrik.

Pada tahun yang sama di Kelantan, seorang lagi mangsa maut semasa berjalan melintasi jalan raya sambil mengharungi air banjir dan telah terpegang tiang lampu jalan yang ada kebocoran arus.

Terkini pula adalah insiden kemalangan renjatan elektrik yang berlaku ketika hujan lebat dan telah meragut tiga (3) nyawa di Kampung Morak, Tumpat, Kelantan baru-baru ini. ST amat bersimpati dan bersedih di atas kejadian yang berlaku dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa kemalangan.

Berikutan insiden ini, pihak ST sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian. Sekiranya didapati berlaku kecuaian atau kesalahan oleh mana-mana pihak yang berkenaan, tindakan undang-undang akan diambil di bawah Akta Bekalan Elektrik, 1990 [Akta 447] dan Peraturan-Peraturan Elektrik, 1994.

Sentiasa Peka Dengan Keselamatan Elektrik di Kediaman Masing-Masing

Justeru, orang ramai sentiasa diingatkan untuk peka dengan sebarang kebocoran arus yang berlaku, terutamanya di kediaman masing-masing. Sekiranya ada kejanggalan dalam sistem pendawaian rumah, segera lantik kontraktor elektrik berdaftar dengan ST untuk melakukan pemeriksaan sewajarnya.

Anda juga perlu memerhati kejanggalan-kejanggalan kepada pepasangan elektrik seperti wayar yang luka, terjuntai atau menyentuh rumah dan membuat laporan segera kepada pihak utiliti pembekal elektrik (TNB atau SESB) untuk tindakan seterusnya.

Di samping itu, ST ingin mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati pada musim banjir ini bagi mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak diingini. ST juga mengalu-alukan orang ramai untuk melaporkan sebarang kecacatan pada pepasangan utiliti yang boleh mendatangkan bahaya dengan kadar segera. Aduan boleh dikemukakan kepada ST di 03-8870 8800 ataupun melalui email ke [email protected].

Untuk maklumat lanjut atau sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, ST juga boleh dihubungi melalui:

1. Telefon: 03-8870 8500
2. Laman Web: www.st.gov.my
3. Facebook: Suruhanjaya Tenaga (Energy Commission of Malaysia)
4. Instagram: st_malaysia
5. Twitter: ST_Malaysia

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.