Siakap Keli
Ronaldo Cari Tukang Masak
Kredit: @georginagio | Instagram

Ronaldo Cari Tukang Masak, Gaji RM24,000 Sebulan

Penyerang Al-Nassr, Cristiano Ronaldo baru-baru ini dikhabarkan sedang mencari tukang masak untuk memasak di rumah baharunya yang bakal siap menjelang Jun tahun ini, lapor The Mirror.

Difahamkan rumah agam yang menelan kos sebanyak RM90 juta (£17 million) itu dibina di Quinta da Marinha, Portugal di atas tanah yang dibelinya sejak September 2021.

Disebabkan itu dia ingin mencari seorang tukang masak profesional yang mampu memasak makanan tradisional Portusia serta hidangan antarabangsa lain seperti sushi.

Bagaimanapun ‘spesifikasi tinggi’ itulah yang melambatkan proses mereka (Ronaldo dan Georgina Rodriguez) untuk mendapatkan tukang masak ekoran ciri-ciri yang perlu ada padanya.

Ekoran kelayakan itu, Ronaldo menawarkan gaji lumayan sekitar RM24,000 (£4,500) sebulan untuk tukang masak tersebut.

Ronaldo Cari Tukang Masak
Kredit: Property Connect via The Mirror

Sementara misi pencarian tukang masak diteruskan, Ronaldo juga dikatakan sedang menumpukan kehidupan baharunya di Arab Saudi.

Baru-baru ini Ronaldo sudah membuat penampilan sulungnya bersama Al-Nassr dalam perlawanan persahabatan menentang gergasi Perancis, Paris Saint-Germain (PSG).

Pertemuan Al-Nassr dan PSG tersebut menyaksikan penyerang Portugal itu bertemu dengan pesaing utamanya sepanjang zaman, Lionel Messi.

Perlawanan persahabatan itu berlangsung dengan aksi sengit kedua-dua pasukan, bagaimanapun kemenangan berpihak kepada PSG dengan menewaskan Al-Nassr 5-4.

Sumber: The Mirror

Florence Nuar