Siakap Keli
Kredit: AFP/Lionel Bonaventure

Bot AI ChatGPT Dilapor Lulus Peperiksaan Undang-undang Di Amerika Syarikat

Bot AI ChatGPT Dilapor Lulus Peperiksaan Undang-undang Di Amerika Syarikat

Chatbot yang dikuasakan oleh rim data daripada internet dilapor telah lulus peperiksaan undang-undang di Amerika Syarikat (AS) selepas menulis esei mengenai undang-undang perlembagaan berhubung cukai dan pelanggaran hak.

ChatGPT yang dibangunkan oleh OpenAI antaranya melalui dana daripada Microsoft, merangka esei tersebut menggunakan kecerdasan buatan (AI) berdasarkan prompt ringkas.

Bagaimanapun, kualiti esei yang dihasilkan oleh AI tersebut dinilai sangat bagus oleh pemeriksa hingga menimbulkan kebimbangan mengenai penipuan dalam kalangan pelajar di masa akan datang.

Malah, keupayaan ChatGPT juga seolah-olah menjadi petanda bahawa kaedah pengajaran dan pembelajaran tradisional di dalam bilik darjah mungkin akan berakhir tidak lama lagi.

Profesor di Fakulti Undang-Undang Universiti Minnesota, Jonathan Choi berkata, soalan yang diberikan kepada ChatGPT adalah sama dengan ujian yang perlu dilalui pelajarnya, iaitu 95 soalan aneka pilihan dan 12 soalan esei.

Namun begitu, dalam kertas putih bertajuk ‘ChatGPT ke sekolah undang-undang’ yang diterbitkan pada Isnin lepas, Choi dan pemeriksa-pemeriksa lain hanya memberikan skor keseluruhan C+ kepada AI tersebut.

Walaupun skor berkenaan sudah mencukupi untuk lulus, ChapGPT sebenarnya tidak menunjukkan prestasi yang baik dalam matapelajaran lain dan mencatatkan keputusan yang teruk dalam peperiksaan aneka jawapan subjek Matematik.

“Ketika menjawab ujian berbentuk esei, ChatGPT mempamerkan pemahaman kuat mengenai asas peraturan undang-undang dan mempunyai keutuhan organisasi yang baik,” kata penulis kertas putih itu.

Sebaliknya, dalam peperiksaan berbentuk open-ended prompt, AI tersebut berdepan masalah untuk mengenali isu-isu yang perlu dijawab, iaitu kemahiran asas bagi mana-mana pelajar undang-undang.

Choi berpendapat, ChatGPT boleh menjadi pembantu yang dipercayai kepada pelajar-pelajar walaupun banyak pentadbir sekolah undang-undang di Amerika Syarikat telah melarang penggunaan ChatGPT di premis masing-masing.

Biarpun ChatGPT bukanlan ‘pelajar’ undang-undang yang hebat, Choi berkata, dengan pembangunan berterusan dan kerjasama dengan manusia, AI tersebut boleh memberikan manfaat kepada pelajar undang-undang yang menduduki peperiksaan atau sebagai peguam.

Katanya, aplikasi itu mempunyai ‘firasat’ yang betul kerana ChatGPT mampu menggunakan tatabahasa yang sempurna.

Sumber: CNA

Shafikah