HelloGold Bakal Tamatkan Operasi Di Malaysia & Thailand Awal Februari Ini
HelloGold, sebuah firma yang menawarkan platform penyimpanan emas patuh syariah pertama di Malaysia bakal mengakhiri operasi mereka di Malaysia dan Thailand.
Dalam sebuah hantaran di Facebook rasminya pada Khamis, pihak HelloGold memaklumkan bahawa platform tersebut akan menamatkan operasinya pada 2 Febuari.
”Walaupun kami terus percaya dengan nilai emas sebagai sebahagian daripada portfolio kewangan, namun kami telah memutuskan bahawa model perniagaan semasa tidak lagi relevan berdasarkan situasi semasa pasaran,” kata kenyataan tersebut.
Pengguna diberi masa untuk melakukan urusan-urusan di platform tersebut sehingga 2 Februari
Pengguna HelloGold telah diberikan masa sehingga pukul 7.00 pagi, 2 Februari 2022 untuk membeli, menjual akan mengeluarkan wang atau emas yang berada di dalam platform tersebut.
Manakala, mana-mana emas yang tinggal di dalam akaun pengguna selepas waktu tersebut akan dijual pada 12.00 malam dengan harga semasa. Wang tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun bank pengguna dalam lima hari berkerja.
Bagi pelanggan Smart Save, semua emas Smart Saver akan dihantar ke akaun HelloGold masing-masing untuk membenarkan para pelanggan menjual dan mengeluarkan wang pada 12.00 malam (27 Januari).
Pada akhir hantarannya di Facebook, pihak tersebut berterima kasih atas segala yang telah diberikan oleh pengguna dan berharap agar dapat berkhidmat semula kepada pelanggannya pada masa yang akan datang.
Pelancaran HelloGold adalah bertujuan untuk membenarkan pelanggan-pelanggan yang memiliki pendapatan rendah dan sederhana memiliki akses untuk melabur emas . Di platform ini, para pelanggan boleh menyimpan dan membeli emas dari harga serendah RM1.
BACA: Kenapa Nilai Emas Sentiasa Tinggi & Dianggap Pelaburan Terbaik? Ini Jawapannya
Sumber: HelloGold via Facebook