Siakap Keli
Pastikan Perpaduan Dan Kesatuan UMNO Johor Tetap Terpelihara
Gambar: Bernama

Pastikan Perpaduan Dan Kesatuan UMNO Johor Tetap Terpelihara – Khaled

Pastikan Perpaduan Dan Kesatuan UMNO Johor Tetap Terpelihara – Khaled

JOHOR BAHRU, 29 Jan (Bernama) — Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor yang baharu, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata peralihan kepimpinan itu bukan  untuk menguatkan mana-mana kelompok atau kumpulan tetapi sebaliknya bagi memulih, merawat dan membangunkan semula kekuatan parti.

Mohamed Khaled, yang mengambil alih jawatan itu daripada Datuk Seri Ir Hasni Mohammad, bertekad untuk memastikan perpaduan dan kesatuan UMNO negeri itu tetap terpelihara.

Sambil berterima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas kepercayaan terhadap beliau bagi menggalas tanggungjawab itu, Naib Presiden UMNO itu menyifatkan jawatan baharu tersebut datang dengan tanggungjawab yang sangat berat.

“Saya juga sangat menghargai sumbangan besar Datuk Seri Hasni Mohammad terhadap UMNO Johor.

“Peralihan kepimpinan ini dilakukan untuk saya meneruskan kerja-kerja baik yang telah beliau laksanakan, insya-Allah,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook beliau, hari ini.

Jumaat lepas, Majlis Tertinggi (MT) UMNO membuat keputusan menggugurkan Hasni, yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam, daripada terus memimpin UMNO Johor dan menggantikannya dengan Mohamed Khaled.

“Adat berpolitik, pasti ada badai dan geloranya. Terimalah ia sebagai pasang surut dalam perjuangan dan Insya-Allah akan ada hikmah terpenting dari segalanya itu,” katanya.

Justeru, Ahli Parlimen Kota Tinggi itu menyeru semua pemimpin UMNO Johor bertaut kembali dan bermuafakat demi kelangsungan parti, selain tidak akan menyisih dan meminggirkan sesiapa.

“Semua bagi saya adalah sahabat dan keluarga besar UMNO Johor yang akan dirai dan dihargai,” kata bekas Menteri Besar Johor itu.

Sumber: BERNAMA

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?