Siakap Keli
bekas pengurus terlibat pengubahan wang haram
Kredit: BERNAMA

Bekas Pengurus Kewangan Didakwa Terlibat Pengubahan Wang Haram Berjumlah RM28 Juta

SHAH ALAM, 2 Feb (Bernama) — Seorang bekas pengurus kewangan sebuah syarikat peralatan muzik didakwa di dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 22 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM28 juta.

Tertuduh, 35,  mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir dan Hakim Norazlin Othman.

Di hadapan Muhamad Anas, tertuduh didakwa atas 10 pertuduhan menerima dan melupuskan wang berjumlah RM9.6 juta manakala di hadapan Norazalin, lelaki itu dituduh atas 12  pertuduhan memindah dan melupuskan wang berjumlah RM18.4 juta.

Kesemua perbuatan terhadap wang hasil daripada aktiviti haram itu didakwa dilakukan menerusi cek dan pemindahan dalam talian akaun milik syarikat peralatan muzik tersebut ke dalam akaun miliknya dan beberapa akaun syarikat lain.

Lelaki itu dituduh melakukan semua perbuatan itu di dua cawangan bank di Bangsar dan Bandar Puteri Puchong pada Februari 2018 hingga Disember 2020.

Pertuduhan dikemukakan mengikut subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zulfadli Mohd Nawawi manakala tertuduh diwakili peguam Tuw Min Ric.

Kedua-dua mahkamah membenarkan jaminan berjumlah RM154,000 bersama dua penjamin dan tertuduh diarahkan melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran.

Kes di hadapan Muhamad Anas dibenar dipindah untuk dibicarakan bersama di  hadapan Norazlin pada 22 Mac depan.

Sumber: BERNAMA

BACA: “Nak Makan Mana?” 5 Benda Kecil Boleh Punca Bergaduh, No 4 Tu Paling Tak Berbaloi Tapi Ramai Boleh ‘Relate’

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana