Siakap Keli
kepentingan menyambut thaipusam
Kredit: BERNAMA

Perayaan Thaipusam: Kepentingan Menyambut Thaipusam Bagi Penganut Hindu

Perayaan Thaipusam: Kepentingan Menyambut Thaipusam Bagi Penganut Hindu

Pada 5 Februari ini, penganut Hindu akan menyambut perayaan Thaipusam di seluruh Malaysia, oleh itu mari ketahui kepentingan menyambut Thaipusam bagi mereka.

Malaysia merupakan sebuah negara yang harmoni, kaya dengan kepelbagaian bangsa, budaya dan adat yang secara tidak langsung mewujudkan persekitaran yang indah terutamanya apabila menyambut perayaan.

Dalam setiap perayaan atau tradisi yang disambut, ia memberi ruang dan peluang kepada pelbagai kaum untuk meraikan dengan saling kunjung-mengunjung bagi memeriahkan hari tersebut.

Sebelum ini, rakyat Malaysia sudah menyambut perayaan Tahun Baru Cina, yang melambangkan sebagai ‘titik permulaan dalam kehidupan’ pada 22 Januari lepas. Seperti perayaan lain, hari tersebut disambut dengan meriah oleh setiap kaum susulan dengan cuti umum yang diberikan.

Kredit: BERNAMA

Dan pada bulan ini, masyarakat India khususnya Tamil akan menyambut perayaan Thaipusam, yang jatuh pada 5 Februari. Bagi penganut agama Hindu, itu merupakan hari untuk penghapusan dosa-dosa atas kesalahan yang lepas (menurut kepercayaan mereka).

Setakat ini, perayaan Thaipusam terbesar di Malaysia disambut di Batu Caves yang mempunyai 272 anak tangga untuk didaki. Penganut terbabit bersama pelancong tempatan serta asing akan memeriahkan sambutan tersebut dengan membanjiri Kuil Sri Subramaniar Swami sejak pagi.

Perayaan Thaipusam

Bagi yang tidak mengetahui, perkataan ‘Thaipusam’ ialah gabungan nama Thai, bulan lunar dalam kalendar Tamil dan Pusam, ia merupakan nama yang dibina daripada tiga bintang individu.

Memetik laman web Tsem Rinpoche, perayaan ini jatuh pada bulan purnama semasa bulan Thai, iaitu sekitar Januari atau Februari dalam kalendar Hindu. Menurut astrologi India, ini adalah masa dalam tahun buruj Pusam berada pada kedudukan tinggi.

Perayaan ini merupakan perayaan agama yang paling popular dalam kalangan orang India dan difahamkan, ia disambut bagi menghormati dewa Hindu, iaitu Dewa Murugan atau dikenali sebagai Dewa Subramaniam.

Tujuan sambutan Thaipusam

Menurut kepercayaan penganut Hindu, Hari Thaipusam adalah hari untuk menunaikan nazar dan menebus dosa atau memohon ampun atas dosa-dosa yang telah dilakukan sepanjang tahun. 

Sebelum perayaan Thaipusam tiba, mereka yang terlibat akan berpuasa selama sebulan untuk melakukan aktiviti pembersihan jiwa dengan cara memakan sayur sehari sekali dan sentiasa mengunjungi kuil.

Bagi mereka yang bernazar, ia dibuat untuk memohon hajat kepada Dewa Murugan dan sekiranya permohonan dikabulkan, maka penganut itu akan mengadakan satu acara sebagai tanda kesyukuran. Namun tidak semua penganut Hindu akan menunaikan nazar.

Kavadi ketika Thaipusam

Kavadi yang merupakan ciri utama semasa Thaipusam datang dalam pelbagai bentuk, saiz dan bahan. Walaupun mungkin terdapat perbezaan dalam cara mereka melihat dan digunakan, tujuan di sebalik setiap daripada mereka adalah sama untuk menunjukkan pengabdian kepada Dewa Murugan dan tuhan-tuhan lain.

Terdapat enam jenis Kavadi iaitu Thol Kavadi, Paal Kavadi, Mayil Kavadi atau Shadal Kavadi, Alavu Kavadi, Vette Mulle dan Koodam Mulle yang akan dibuat atau dibawa semasa perayaan Thaipusam.

Tetapi di Malaysia, tidak semua Kavadi dibenarkan untuk dilakukan semasa Thaipusam ini kerana keputusan itu dibuat mengikut kesesuaian dan keadaan semasa yang tidak memberi kemudaratan kepada orang ramai.

Kredit: Tsem Rinpoche

Sekiranya kerajaan membenarkan perarakan, penganut Hindu akan membawa Paal Kavadi, iaitu menjujung periuk atau belanga ke atas kepala dan diisi dengan susu sebagai persembahan kepada dewa.

Kredit: Tsem Rinpoche

Selain itu, golongan lelaki juga dilihat mencukur rambut pada perayaan itu diadakan dan mewarnakan kepala botak itu dengan kunyit.

Ada juga yang melakukan Vette Mulle, di mana mata kail akan dicucuk ke bahagian belakang penganut. Mata kail ini dilekatkan pada tali yang sama ada ditarik oleh penganut lain yang berjalan di belakangnya atau digunakan untuk menarik kereta kuda.

Kredit: Tsem Rinpoche

Terdapat juga ritual fizikal diri yang lain seperti Alavu Kavadi, yang memerlukan seseorang itu untuk mencucuk anak panah melalui lidah atau pipi penyembah mengingatkannya kepada Dewa Murugan.

Ia juga bertindak sebagai langkah pencegahan untuk menghalangnya daripada bercakap, memberikan penyembah kuasa ketahanan yang hebat.

Difahamkan juga, pelaku yang melakukan kavadi itu, berada dalam keadaan sedar kerana ada sesetengah yang mempercayai dewa telah memberi kuasa kepada mereka untuk berbuat demikian.

Amalan yang dilakukan merupakan salah satu cara untuk melepaskan atau membayar nazar. Ia juga dilaksanakan kerana penganut itu mahu melupakan peristiwa sedih yang berlaku dan menanti hari yang baik menjelma pada masa hadapan.

Sumber: Tsem Rinpoche, Awani, UTM

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana