Siakap Keli
wanita orang asli pertama jadi pengetua
Kredit: FB Persatuan Orang Asli Perak

Rasila Yas, Wanita Orang Asli Pertama Dilantik Jadi Pengetua Sekolah

Rasila Yas melakar sejarah menjadi wanita Orang Asli pertama dilantik sebagai Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Menglembu di Ipoh, pada Rabu.

Menerusi perkongsian Persatuan Orang Asli Perak (POAP) di Facebook, Rasila yang juga Ahli Jawatankuasa Kelab Biro Pendidikan (AJK) Biro Pendidikan, menjadi wanita Orang Asli pertama menyandang jawatan sebagai pengetua sekolah.

Kredit: FB Persatuan Orang Asli Perak

“Dikesempatan ini, POAP ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada Puan Rasila.

“Kami warga POAP amat berbangga dengan lantikan tersebut kerana melalui lantikan ini. Puan Rasila merupakan Orang Asli pertama dan juga wanita Orang Asli yang pertama menyandang jawatan sebagai Pengetua sekolah. Syabas dan tahniah sekali lagi kepada Cikgu Rasila!” katanya.

Sebelum menjawat jawatan pengetua, Rasila bergiat aktif dalam aktiviti pertubuhan bukan kerajaan dan juga menjawat jawatan AJK dalam pertubuhan itu.

“Beliau sering memberi ceramah motivasi tentang kepentingan pendidikan kepada pelajar dan ibubapa Orang Asli terutamanya di negeri Perak,” tambah POAP lagi.

Latar belakang Rasila

Sedikit latar belakang mengenai Rasila, beliau merupakan Orang Asli berketurunan Temuan dari Kampung Putra Negeri Sembilan dan membesar di Pengkalan Hulu (Kroh).

Rasila berpindah ke Perak kerana mengikuti ayahnya yang merupakan anggota pasukan keselamatan Senoi Peraq (kini Polis Gerakan Am – PGA), yang pada ketika itu diarahkan untuk melaksanakan tugas di sana.

Rasila merupakan seorang graduan Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Pendidikan dari Universiti Sains Malaysia dan telah memulakan kerjaya sebagai seorang guru pada tahun 1996 di SMK Pengkalan Hulu Perak.

Tidak lama selepas itu, dia ditukarkan ke SMK Petra Jaya yang terletak di Kuching, Sarawak selama 11 tahun dan kemudian kembali semula ke Semenanjung dan bertugas di  SMJK Ave Maria Convent, Ipoh dari tahun 2007.

“Jawatan terakhir yang dijawat oleh beliau ketika di SMJK Ave Maria Convent, Ipoh adalah sebagai Penolong Kanan Pentadbiran,” kata hantaran di Facebook itu.

Sumber: Persatuan OA Perak via Facebook

BACA: Tiga Calon SPM Orang Asli Mersing Diterbangkan Untuk Hadiri Pemeriksaan

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana