Siakap Keli
chatime menu rahmah
Gambar via BERNAMA, Twitter

Chatime Antara Francais Terkemuka Mula Tawar Menu Rahmah Serendah RM5

Chatime Antara Francais Terkemuka Mula Tawar Menu Rahmah Serendah RM5

Sejak diperkenalkan pada Selasa lalu, banyak perniagaan francais makanan dan minuman didapati menyahut inisiatif yang dilakukan Kerajaan Perpaduan dengan mula menawarkan Menu Rahmah kepada pengguna, lapor Sinar Harian.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub menerusi ciapan di Twitter rasmi miliknya menzahirkan kesyukuran. Beliau bersyukur ekoran beberapa restoran terkemuka telah menyambut baik inisiatif tersebut.

“Alhamdulillah, lebih banyak restoran dan francais yang menyambut baik inisiatif Rahmah,” tulisnya di Twitter.

Seperti yang dikongsikan oleh Twitter Datuk Salahuddin, antara restoran yang mula menawarkan Menu Rahmah ialah pembekal makanan dan minuman Chatime Malaysia Sdn Bhd dan Restoran Mios Kitchen.

Baca: Boleh Jimat Masa, Ini Cara Nak Buat Umrah 3 Kali Tanpa “Apply” Cuti Panjang

Sebelum ini, dilaporkan lebih 15,000 restoran telah menawarkan Menu Rahmah berharga RM5 bagi setiap hidangan makanan tengah hari atau makan malam bermula 31 Januari lalu.

Menu Rahmah ditawarkan kepada golongan berpendapatan rendah atau B40 di seluruh negara.

Tawaran itu selaras dengan pelancaran inisiatif Menu Rahmah oleh kerajaan. Tawaran itu bertujuan untuk membantu khususnya rakyat dari golongan B40 dapat membeli makanan di restoran dengan harga yang berpatutan.

Sementara itu, Salahuddin menerusi laman sosial sama turut memuat naik satu video yang menyifatkan inisiatif Menu Rahmah adalah sebagai menu ‘kasih sayang’ yang diperkenalkan untuk rakyat Malaysia.

“Menu Rahmah ini adalah menu rakyat, menu untuk semua orang.

“Jadi sesiapa yang merasakan perlu untuk mendapatkan menu ini, hanya RM5 sahaja. Siapa-siapa pun boleh menikmati Menu Rahmah kerana ia menu rakyat, menu kasih sayang,” ujarnya dalam muat naik video tersebut.

Untung pengetahuan semua, Menu Rahmah adalah hidangan seimbang merangkumi nasi, satu pilihan protein iaitu ayam atau ikan dan sayuran yang ditawarkan untuk membantu golongan yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup ketika ini.

Selain itu, Salahuddin turut memberitahu bahawa setakat ini, restoran yang terlibat dalam program itu ialah ahli daripada tujuh persatuan. Antaranya ialah Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS) serta Persatuan Pengusaha Tomyam Malaysia.

Pelaksanaan program juga membabitkan ahli Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura (MSCSPGA), Persatuan Peruncit Bumiputra Malaysia (BRO) , Persatuan Rangkaian Runcit Malaysia (MRCA) dan Persatuan Peruncit Malaysia (MRA).

Sumber: Sinar Harian

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka