Siakap Keli
paco rabanne meninggal dunia
Gambar: Metro UK

Ikon Pereka Fesyen Terkemuka, Paco Rabanne Meninggal Dunia

Ikon Pereka Fesyen Terkemuka, Paco Rabanne Meninggal Dunia

Pereka fesyen terkenal Sepanyol, Paco Rabanne meninggal dunia pada usia 88 tahun, lapor Insider.

Berita tentang kematian pereka fesyen terkemuka itu disahkan dalam satu kenyataan yang dimuat naik di akaun Twitter rasminya, semalam.

“The House of Paco Rabanne ingin menghormati pereka dan pengasas berwawasan kami yang meninggal dunia hari ini pada usia 88 tahun,” tulis kenyataan itu.

“Antara tokoh fesyen terkemuka pada abad ke-20, warisannya akan kekal sebagai sumber inspirasi yang berterusan,” kata kenyataan itu lagi.

Baca: Boleh Jimat Masa, Ini Cara Nak Buat Umrah 3 Kali Tanpa “Apply” Cuti Panjang

Rabanne dilahirkan pada 18 Februari 1934 di San Sebastián, Sepanyol, sebagai Francisco Rabaneda Cuervo.

Memetik Insider, ibunya merupakan seorang tukang jahit yang bekerja di butik pertama Balenciaga dan bapanya pula ialah seorang tentera yang meninggal dunia dalam Perang Saudara Sepanyol.

Walaupun kisah keluarga itu agak menyayat hati, ia akhirnya membawa Rabanne kepada kehidupannya yang sebenar.

Menurut Vogue, ibu Rabanne berpindah bersama anaknya ke Perancis sebagai pelarian, yang membawa Rabanne untuk mula belajar seni bina di École Nationale des Beaux Arts.

Pada ketika itu, Rabanne mula menghasilkan beberapa rekaan pakaian dan aksesori serta menjalin hubungan dengan ikon fesyen.

Dari situ, hasil rekaan Rabanne menjadi penting dalam dunia fesyen Perancis pada tahun 1960-an.

Koleksi pertamanya iaitu ’12 pakaian tidak boleh dipakai yang diperbuat daripada bahan kontemporari,’ adalah hebat, menurut Insider.

Difahamkan, rekaan pakaiannya itu bukan diperbuat daripada kain tetapi daripada bahan harian seperti kertas.

Beberapa koleksi pertamanya telah dipamerkan di muzium di seluruh dunia malah, terdapat selebriti yang telah memperagakan versi terkini pakaiannya di karpet merah.

Pada tahun lepas, Sabrina Carpenter memakai set pakaian yang berkilau di Met Gala.

Kemudian, Taylor Swift pula memakai gaun mini berwarna perak, koleksi terawal Rabanne, pada Januari lalu.

Selain menjadi pereka fesyen, Rabanne juga turut mengeluarkan wangian pertamanya pada tahun 1960-an.

Gambar: Paco Rabanne

Menurut Insider, minyak wangi sitrus yang dipanggil Calandre masih lagi terkenal sehingga ke hari ini.

Minyak wangi yang paling laris dan terkenal, Paco Rabanne 1 Million yang mempunyai bentuk seperti jongkong emas dikatakan salah satu wangian lelaki yang paling popular di dunia.

Walaupun Rabanne bersara pada tahun 1999, rekaannya yang metalik futuristik tetap relevan.

Sumber: Insider

Noorliyana Ishak