Siakap Keli
internet perpaduan
Kredit: BERNAMA

Pakej Internet Perpaduan: Syarikat Telekomunikasi Boleh Tawar Harga Lebih Murah

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) — Kadar harga Pakej Internet Perpaduan yang diumumkan kerajaan hanyalah garis asas bagi syarikat telekomunikasi dalam menyediakan perkhidmatan berkenaan kepada pelanggan masing-masing.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata kementerian sentiasa mengalu-alukan syarikat telekomunikasi, untuk menawarkan perkhidmatan internet yang lebih baik dengan harga yang lebih rendah mengikut kesesuaian.

“Ini adalah pengumuman dasar, sekiranya syarikat-syarikat ingin memberi tawaran yang lebih baik itu terpulang kepada mereka, tapi waktu ini baseline kita ialah RM69 sebulan untuk jalur lebar tetap dan RM5 sebulan untuk prabayar internet mudah alih.

“Saya harap syarikat telekomunikasi dan penyedia perkhidmatan internet jalur lebar, akan meneliti respons rakyat dan memberi pakej-pakej lebih baik,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan penduduk Residensi Suria Pantai di sini hari ini.

Selasa lepas kerajaan mengumumkan Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap dengan harga lebih rendah, bagi membantu golongan B40, veteran, Orang Kurang Upaya (OKU) serta warga emas.

Perkhidmatan itu disediakan dengan kelajuan 30 Mbps bersama data tanpa had dengan caj hanya RM69 sebulan, serta kontrak langganan selama 24 bulan.

Sebelum ini Fahmi mengumumkan Pelan Data Perpaduan Prabayar Internet Mudah Alih pada harga dua kali ganda lebih murah iaitu RM5 sebulan dan tiga kali lebih pantas, yang berada di pasaran mulai Februari.

Sementara itu Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata pihaknya juga akan menyediakan pangkalan data bagi memberi kemudahan kepada syarikat telekomunikasi untuk membuat rujukan dan menentukan mereka yang layak untuk menikmati kemudahan pakej berkenaan.

Beliau berkata ketika ini, pakej berkenaan yang seiring konsep Malaysia Madani disasarkan bagi membantu golongan B40, namun syarikat telekomunikasi juga boleh memberikan kemudahan itu kepada golongan M40 bawahan jika terdapat keperluan.

“Kita juga melebarkan kemudahan (pakej perpaduan) ini kepada warga emas, OKU dan veteran, jadi mereka juga akan dapat dibantu dan saya harap syarikat telekomunikasi akan teliti suara rakyat, pelanggan dan sesuaikan produk masing-masing untuk lebih membantu rakyat pada waktu ini,” katanya.

Sumber: BERNAMA

BACA: Berita Baik Berkaitan Telekomunikasi Menjelang Krismas Untuk B40, M40

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana