Siakap Keli
safee sali bersara
Gambar: Bernama

Rasmi, Safee Sali Umum Bersara

Rasmi, Safee Sali Umum Bersara

KUALA LUMPUR — Bekas penyerang prolifik negara, Mohd Safee Mohd Sali atau lebih dikenali sebagai Safee Sali secara rasmi mengumumkan persaraannya dalam arena bola sepak sebentar tadi.

Pemain berusia 39 tahun itu memaklumkan berita tersebut dalam satu sidang media yang berlangsung hari ini.

Jelas Safee, beliau merasakan dirinya sudah mencapai batas untuk bersaing secara kompetitif dalam liga profesional. Sebaliknya, dia akan memberikan fokus kepada pembangunan akar umbi dan bercita-cita menubuhkan sebuah akademi bola sepak.

“Bola sepak akan menjadi sebahagian besar daripada kehidupan saya. Tetapi saya amat teruja untuk meneroka masa hadapan dan peluang yang menanti.

“Dalam fasa seterusnya dalam hidup saya, saya ingin memanfaatkan pengalaman dan pengetahuan saya.  Ia sebagai pemangkin untuk generasi bola sepak Malaysia yang seterusnya,” katanya.

Gambar: Siakap Keli

Tambah Safee, beliau mengucapkan terima kasih kepada seluruh peminat, rakan seperjuangan, kelab bola sepak  dan para penaja yang telah menyokongnya sepanjang bergelar pemain bola sepak.

Sementara itu, persaraan ikon bola sepak negara itu turut dikongsikan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Selamat Bersara Safee Sali,” tulis FAM.

BACA JUGA: Tiga Maut Dalam Gempa Bumi Di Turkiye & Syria Semalam

Tambah badan bola sepak negara itu, Safee merupakan seorang pemain bola sepak profesional.  Selain itu, beliau juga pernah mewarnai kancah sukan negara dengan mempamerkan aksi-aksi memukau mata selepas 20 tahun.

“Safee Sali hari ini mengumumkan persaraan beliau pada usia 39 tahun 23 hari,” kata FAM.

Tambahan lagi, sewaktu menyarung jersi Harimau Malaya, Safee telah bermain sebanyak 76 perlawanan dengan meledak 23 gol untuk negara sepanjang 11 tahun.

Gambar: Siakap Keli

“76 kaps dan 23 gol bersama Harimau Malaya dari 2006 hingga 2017, terima kasih SafeeSali_10 Official !,” maklum kenyataan itu.

Karier bola sepak Safee Sali

Untuk rekod, Safee Sali memulakan kariernya dalam arena bola sepak bersama beberapa kelab bola sepak sejak tahun 2004.

Antara kelab yang pernah disertainya termasuklah Johor Darul Ta’zim  (JDT), Kuala Lumpur Football Club (FC), Selangor FC dan Pelita Jaya FC (Indonesia).

BACA JUGA: Arsenal Intai Peluang ‘Sambar’ Marcus Rashford

Sebagai penyerang kebangsaan, tidak boleh disangkal lagi ketajamannya di depan gawang gol apabila menjadi tonggak utama skuad kebangsaan dalam menjuarai Piala AFF Suzuki 2010.

Selain itu, beliau juga menerima anugerah pemain bola sepak tempatan pertama yang bermain dalam dua perlawanan akhir Asian Football Cup (AFC) bersama KL City (2022) dan JDT (2015).

Sumber: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?