Siakap Keli
mapim santuni barisan hadapan
Gambar: Tangkap layar video

Sajian Panas Di Lapangan, Wira Malaysia Di Turkiye Nikmati Roti Canai Sebelum Bertugas

MAPIM Santuni Barisan Hadapan Saji Roti Canai Di Turkiye

Awal tahun Februari, seluruh negara dikejutkan dengan satu kejadian bencana alam yang meragut nyawa ribuan penduduk tempatan.

Satu kejadian gempa bumi bermagnitud 7.8 telah melanda Turkiye pada 6 Februari lalu dan kira-kira 41,000 dilaporkan maut dalam tragedi itu, setakat artikel ini ditulis, menurut Agensi Anadolu.

Sesetengah negara seperti Malaysia, Korea Selatan, China dan lain-lain mula bertindak untuk menghantar barisan hadapan bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi.

Dalam masa yang sama, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) turut menghantar bantuan misi kemanusiaan ke Turkiye.

Difahamkan, MAPIM merupakan badan bukan kerajaan (NGO) pertama menghantar bantuan yang turut disertai 11 anggota delegasi termasuk empat petugas media.

BACA: Lelaki Ramal Gempa Bumi Kuat Bakal Landa Turkiye 3 Hari Sebelum Tragedi Benar-benar Berlaku

MAPIM santuni barisan hadapan

Gambar: Tangkap layar video

Setelah beberapa hari berada di negara itu, MAPIM berkongsi mengenai situasi semasa selepas kejadian gempa bumi yang melanda Turkiye ketika menyantuni barisan hadapan.

Dalam rakaman video itu, menunjukkan para barisan hadapan menikmati sarapan pagi yang disediakan oleh MAPIM sebelum memulakan misi SAR.

Setiausaha MAPIM Zulhanis Zainol berkata kedatangan pihaknya bukan sahaja untuk membantu mangsa yang terkesan tetapi juga menyantuni barisan hadapan.

“Kita datang menyantuni dan melayani mereka, bukan sahaja mangsa yang terkesan tetapi juga dengan barisan hadapan kita.

“Di samping itu, peranan kita juga adalah menyediakan sajian, yang dibawakan khas bersama Global Ikhwan, sajian panas di lapangan,” katanya ketika ditemu bual.

Gambar: Tangkap layar video

MAPIM menyediakan sajian roti canai sebagai permulaan hari dan rata-rata mereka dilihat berpuas hati semasa menikmati juadah itu.

Juadah itu disajikan bagi memberi semangat kepada pasukan SAR untuk mencari mangsa gempa bumi.

“Terasa sikit seperti sarapan pagi kita di Malaysia. Rasa macam berada di Malaysia, negara sendiri,” ujar salah seorang barisan hadapan yang dihantar ke Turkiye.

Sebelum ini, media melaporkan MAPIM tidak dapat membantu untuk misi SAR, namun dapat memberi bantuan barangan asas kepada mangsa yang terlibat.

Antara barang keperluan yang akan disumbangkan adalah seperti selimut musim sejuk, makanan, khemah dan ubat-ubatan.

Akan tetapi, bantuan terbabit akan berubah berubah dari masa ke semasa mengikut keadaan.

Salur sumbangan menerusi MAPIM

Misi bantuan yang dilaksanakan oleh MAPIM menunjukkan bahawa Malaysia bersemangat tinggi dalam memberi bantuan kepada negara yang mengalami bencana alam.

“Kerja-kerja ini kita teruskan dan kita sentiasa menyatakan solidariti Rakyat Malaysia sangat tinggi untuk membantu mereka yang terkesan.

“Jadi mereka yang ingin menunjukkan keprihatinan, rasa solidariti mereka dengan apa yang kami lakukan di sini boleh melayari www.mapim.org,” tambahnya.

Sekiranya mahu menurut serta dalam Misi Bantuan Kecemasan Gempa Turkiye-Syria, boleh terus menyalurkan sumbangan menerusi Tabung Kemanusiaan MAPIM (Akaun Maybank 562263540066).

Kredit: MAPIM

Sumber: MAPIM

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana