Siakap Keli
Kerajaan bekal 50000 komputer riba
Kredit BERNAMA

Kerajaan Bekal 50,000 Komputer Riba Kepada Sekolah, Institusi Pendidikan KPM – Anwar

Kerajaan Bekal 50,000 Komputer Riba Kepada Sekolah, Institusi Pendidikan KPM – Anwar

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) — Kerajaan akan membekalkan 50,000 komputer riba kepada sekolah dan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) tahun ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata ia mengambil kira peranan guru yang penting dalam mendidik dan memanusiakan anak-anak dengan keperluan pengajaran dan pembelajaran.

“Guru perlu segera beradaptasi dengan teknologi digital selari arus kemodenan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Baca: Terkenal Sebagai Kampung Jungkook & Jimin BTS, Rupanya Ini Yang Buat Ramai Tak Senang Duduk Bila Sebut Busan

Dalam pada itu, Anwar berkata KPM terus menerima peruntukan tertinggi dalam Belanjawan 2023 iaitu sebanyak RM55.2 bilion berbanding RM52.6 bilion pada 2022.

Beliau berkata sejumlah RM2.3 bilion disediakan untuk memastikan infrastruktur serta kemudahan pembelajaran terbaik di semua sekolah meliputi peruntukan RM920 juta untuk naik taraf bangunan serta infrastruktur di 380 sekolah daif khususnya di Sabah dan Sarawak.

“Sekolah yang mempunyai murid berkeperluan khas akan dilengkapkan dengan kemudahan mesra Orang Kurang Upaya (OKU) dan kerajaan akan membina dewan terbuka bagi menyediakan keselesaan untuk anak-anak berhimpun,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata tujuh sekolah baharu akan dibina dengan kos sebanyak RM560 juta termasuk Sekolah Kebangsaan Paya Dusun di Terengganu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Denai Alam di Selangor, SMK Nabalu di Sabah dan SMK Dudong di Sarawak.

Katanya bagi menampung kos menyediakan makanan berkhasiat kepada murid, kadar makanan bermasak bagi Rancangan Makanan Tambahan (RMT) telah ditambah daripada RM625 juta kepada RM777 juta yang memanfaatkan 700,000 murid.

Sumber: BERNAMA

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka