Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

100 Polis Cari Anggota Badan Abby Choi Yang Hilang
Selepas bahagian kepalanya ditemui dalam periuk sup, polis kini bertungkus-lumus mengesan anggota badan lain mayat model terkenal Abby Choi, yang dibunuh kejam baru-baru ini.
Menurut laporan Today World, seramai 100 anggota polis Hong Kong ditugaskan untuk memeriksa sebuah tapak pelupusan sampah hari ini.
Difahamkan, operasi tersebut bertujuan untuk mengesan beberapa anggota badan milik mayat model tersebut yang belum ditemui setakat ini.
Ia dibuat selepas pihak polis selesai meneliti rakaman CCTV yang berada berdekatan dengan lokasi pembunuhan berlaku di Kampung Tai Po.
CCTV tersebut merakam beberapa peristiwa penting pada Rabu lepas, iaitu sehari selepas model berusia 28 tahun itu dilaporkan hilang.
Rakaman berkenaan menunjukan seorang suspek memindahkan beberapa beg dari sebuah flat ke kawasan pembuangan sampah. Polis sebelum ini menemui beberapa bahagian anggota badan mayat mendiang di flat tersebut.
Polis cari anggota badan Abby Choi yang hilang
”Ada kemungkinan beg-beg berkenaan berisi baju atau bahagian badan lain mangsa,” kata sumber dalam polis.
Sampah-sampah daripada kejiranan tersebut dilaporkan dipungut dan dihantar ke Kawasan Pelupusan Sampah Baharu di Ta Kwu Ling.
Pihak polis juga meminta kerjasama daripada pihak pengurusan tapak pelupusan sampah berkenaan untuk mengecilkan kawasan pencarian.
“Sebuah jengkaut akan digunakan untuk memunggah kawasan tersebut sebelum anggota yang mengenakan pakaian perlindungan mengambil alih dan meneruskan proses pencarian,” kata seorang individu yang terlibat dalam proses pencarian.
Sebelum ini, pihak polis menemui tengkorak dan beberapa tulang rusuk dipercayai milik mangsa di dalam sebuah periuk besar berisi sup. Bahagian-bahagian berkenaan ditemui di sebuah hartanah di Lung Mei Tsuen.
Selain itu, dua belah kaki wanita berkenaan dijumpai di dalam peti sejuk yang berada dalam rumah tersebut. Setakat ini, bahagian atas badan dan kedua-dua belah tangan Abby masih belum ditemui.
Setakat ini, polis sudah pun menahan empat orang dipercayai terlibat dalam kejadian pembunuhan berkenaan.
BACA: Kepala Abby Choi Ditemui Dalam Periuk Sup
Sumber: SCMP, Today Online