Siakap Keli

BloomThis Mencipta Saat Indah Menerusi Pelancaran Kedai Bunga Fizikal Pertama

KUALA LUMPUR, 1 Mac 2023: BloomThis, platform e-dagang yang menjual cenderahati secara on-demand dengan misi untuk mencipta detik-detik gembira, melancarkan kedai fizikal pertama di dalam Hospital Pakar KPJ Damansara 2 (DSH2) di Bukit Lanjan, Kuala Lumpur, hari ini.

Kedai fizikal tersebut, yang dibuka dengan kerjasama KPJ Healthcare, bertunas daripada pelan strategik BloomThis untuk meneruskan kesinambungan dalam mencipta saat-saat indah buat pelanggannya, termasuklah ketika mereka sakit. Kajian University of North Florida menunjukkan bahawa pemberian bunga didapati berupaya mengurangkan tekanan dan keresahan, serta mempunyai impak positif terhadap kesejahteraan emosi. Sebagai jenama yang mengutamakan saat-saat menggembirakan untuk pelanggannya, BloomThis menemui keserasian dengan KPJ Healthcare menerusi hasrat bersama untuk memberikan penjagaan kesihatan bermutu tinggi kepada pesakit, sekali gus menaikkan semangat pelanggan, pengunjung dan kakitangan hospital. 

Pengasas bersama dan Pengarah Urusan BloomThis, Penny Choo berkata “Kami teruja untuk meluaskan jangkauan kami dalam memberikan khidmat yang lebih baik kepada pelanggan kami. Walaupun kehadiran dalam talian kami membantu kami berhubung dengan orang ramai di seluruh Malaysia, kami tetap sedar tentang kepentingan untuk berhubung secara langsung dengan pelanggan-pelanggan kami dalam kehidupan seharian mereka. Justeru, pembukaan kedai fizikal ini membantu kami menzahirkan niat tersebut. Dengan cara ini, kami dapat bersama pelanggan kami pada saat-saat yang penting termasuk sewaktu menemani orang yang tersayang di hospital. Kami berbesar hati untuk menawarkan kepakaran kami dalam pemberian buah tangan dan gubahan jambangan bunga serta khidmat pelanggan yang luar biasa kepada pengunjung DSH2.”

“Apabila rakan-rakan dan sanak saudara menziarahi pesakit untuk memberikan sokongan emosi, mereka akan mempunyai akses kepada hadiah bunga yang segar yang boleh disesuaikan kepada penerima, dalam ruang hospital itu sendiri. Pemberian buah tangan, terutamanya jambangan bunga, berupaya menguatkan semangat pesakit, membuatkan mereka rasa dihargai sekali gus membantu dalam proses penyembuhan.” 

“Kami juga berhasrat untuk ‘memanusiakan’ penjagaan kesihatan, dengan memberikan perhatian utama kepada keperluan dan pengalaman peribadi pesakit, dan bukan sekadar memberi tumpuan kepada keadaan kesihatan mereka semata-mata. Dengan cara demikian, pesakit akan lebih gembira dengan penjagaan yang diberikan, yang berupaya memberikan hasil yang lebih baik dan memperbaiki tahap kesejahteraan diri mereka,” katanya lagi.

BloomThis akan membekalkan pelbagai pilihan buah tangan dan cenderahati seperti bunga-bungaan segar yang siap digubah dan boleh disiapkan seperti yang dimahukan, bakul buah-buahan, bakul hadiah, belon, dan pelbagai lagi. Di samping itu, kakitangan DSH2 juga akan menikmati tawaran-tawaran istimewa, diskaun dan pelbagai promosi secara berterusan.

Kedai tersebut juga menawarkan pengalaman interaktif kepada pelanggan menerusi penyertaan dalam bengkel mini atau sesi gubahan bunga berdasarkan temu janji. 

“BloomThis sentiasa menjadi sebuah platform untuk kami mendekati komuniti kami yang dinamakan sebagai #bloomies. Walaupun pesanan secara dalam talian kami dipenuhi dengan cukup pantas, pelanggan-pelanggan yang cenderung untuk membeli berdasarkan permintaan, boleh membeli secara ‘beli dan bawa’ dari kedai fizikal kami,” kata Penny lagi.

Penny turut berkongsi bahawa BloomThis juga berbincang dengan KPJ Healthcare untuk membuka beberapa kedai fizikal dalam rangkaian hospital KPJ Healthcare. Langkah ini membolehkan jenama tersebut memudahkan pelanggan sedia ada dan bakal pelanggan untuk menikmati pengalaman memberi hadiah yang hebat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif DSH2, Dr Ahmad Syukri Jamaludin berkata, “Kami teruja dengan kerjasama dengan BloomThis yang akan memberikan pengalaman unik dan tersuai kepada pelanggan kami, selaras dengan apa yang kami ingin capai. DSH2 akan menjadi hospital premier buat KPJ Healthcare, yang berdedikasi untuk menyediakan rawatan dan keselesaan perubatan yang terbaik kepada pesakit kami. Dengan pembukaan kedai ini, kami berharap agar ia dapat meningkatkan suasana mesra dan ramah di DSH2”. 

Kedai fizikal BloomThis yang terletak di tingkat bawah DSH2 mula beroperasi dan menerima pelanggan bermula 1 Mac 2023.

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa