Siakap Keli
johor kembali banjir
Kredit: Hidayah Raja, Johor Gazette, MamaCafe Hq, Johor Kini via FB

Johor Kembali Banjir, Netizen Kongsi Keadaan Terkini Di Setiap Daerah

Johor Kembali Banjir, Netizen Kongsi Keadaan Terkini Di Setiap Daerah

Hujan lebat berterusan membuatkan negeri selatan di Semenanjung Malaysia, Johor kembali dilanda banjir selepas hampir tidak sampai sebulan bencana itu berlaku di sana.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan berkata hujan lebat pada tahap bahaya dijangka berterusan sehingga esok.

Difahamkan, hujan lebat berterusan melibatkan semua 10 daerah di negeri itu.

Beberapa sungai terutamanya di daerah Segamat, Kluang, Kulai, Johor Bahru dan Pontian dilaporkan telah melepasi paras bahaya.

Sebelum ini, media melaporkan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir melibatkan empat daerah di Johor.

Perkongsian netizen mengenai banjir

Dalam pada itu, orang ramai turut mengambil peluang berkongsi keadaan terkini mengenai banjir yang melanda.

Menerusi entri Siti Aida Latif di Facebook yang berada di Chaah, dia memaklumkan hujan berterusan menyebabkan jalan utama menuju ke Selancar terputus.

Siti Aida turut mengepilkan gambar dan video menunjukkan keadaan di kawasan itu pada pagi ini.

“Jalan nak masuk Redong pun banjir, hujan kali ni sampai jalan terputus,” memetik kapsyen tersebut.

Hapizah Wahid dalam satu hantaran menyatakan rasa sedih susulan rumah ibunya dinaiki air pada paras tinggi.

Ujarnya, kebiasaannya apabila banjir, rumah ibu dinaiki air pada paras longkang namun pada kali ini, air tersebut hampir menutupi jalan raya.

Manakala di Kota Tinggi, orang awam bernama Hidayah Raja menunjukkan keadaan rumhanya yang dinaiki air.

Sekiranya mentelusuri gambar, boleh dilihat beberapa barangan perabot terapung dan air dilihat berada dalam ketinggian yang luar biasa.

Di daerah yang sama, Ramlah Hussin Muqmeen memaklumkan mengenai kejadian banjir yang berlaku menyebabkan beberapa pelajar yang mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) masih belum lepas untuk pergi ke sekolah.

Sementara itu, pemilik MamaCafe Hq, memaklumkan kedainya ditutup kerana banjir di kawasan perniagaannya di Labis.

Tambahnya, kedai itu akan dibuka semula sehingga air di kawasan Labis surut.

Selain itu, di Kluang juga turut dinaiki air susulan dengan hujan lebat yang berterusan di bandar itu.

Setakat 8 pagi tadi, empat daerah yang terlibat dengan banjir telah memindahkan 1,591 mangsa ke 21 pusat pemindahan sementara (PPS).

Lapor Bernama, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menerusi kenyataan memaklumkan enam PPS masing-masing di daerah Segamat, Kluang dan Johor Bahru selain tiga PPS di Kota Tinggi, dibuka secara berperingkat mulai 10.30 malam tadi sehingga 3.20 pagi tadi.

Sumber: Orang awam via Facebook

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana